Bulan lalu Volvo Cars Malaysia (VCM) mengumumkan pengenalan secara rasmi SUV EV Coupe Volvo EC40 Ultra (sebelum ini turut dikenali dengan nama C40 Recharge) dalam versi Single Motor untuk pasaran tempatan. Dan, ini kami bawakan pula galeri penuh model elektrik tersebut untuk dilihat lebih terperinci.
Volvo EC40 hanya dibekalkan dengan sebuah motor elektrik berbanding versi Twin Motor dengan dua motor elektrik memacu semua roda, tetapi masih dibekalkan dengan pakej kelengkapan Ultra yang sama. Harga atas jalan tanpa insuran RM248,888, atau RM40,000 lebih rendah berbanding versi Twin Motor sedia ada.
Motor yang dibekalkan pula menjana kuasa sebanyak 238 hp (175 kW) dan tork maksima 420 Nm, ditempatkan di gandar belakang dan memacu roda belakang sahaja. Ia membolehkan EC40 ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat.

Motor berkenaan menerima bekalan elektrik dari pek bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 70 kWj (digunakan hingga kadar 67 kWj), membolehkan SUV ini bergerak sejauh 488 km dalam kitaran ujian WLTP (554 km untuk varian Twin Motor).
Baterinya boleh menerima sistem pengecas pantas DC sehingga 200 kW, membolehkan cas dipenuhkan dari 10-80% dalam masa hanya 26 minit. Sistem pengecas AC juga boleh digunakan hingga 11 kW, dan cas boleh dipenuhkan dari 0-100% dalam masa tujuh jam.
Sebagai model pacuan roda belakang sebenar, EC40 Single Motor pasaran Malaysia datang dengan rim aloi 19-inci lima jejari yang dibalut dengan tayar yang lebih lebar di belakang iaitu 255/45R19, berbanding tayar hadapan dengan ukuran 235/50R15.

Pakej kelengkapan Ultra pada model ini juga memberikan perincian seperti paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh sembilan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem Google binaan-dalam serta Volvo Connect Plus, dihubungkan kepada sistem bunyi Harman Kardon.
Ia juga menerima lampu hadapan LED Pixel, pad pengecas telefon pintar tanpa wayar, sistem penghawa dingin dua zon bersama penderia PM2.5, bumbung kaca panaromik, kamera 360-darjah, tempat duduk hadapan kawalan kuasa dengan fungsi memori untuk pemandu dan pintu tailgate belakang berkuasa dengan bukaan tanpa sentuhan.
Aspek keselamatan, model ini diberikan tujuh beg udara, brek kecemasan automatik, Pilot Assist, bantuan kekal lorong, amaran dan pengelak pelanggaran belakang, pemantau titik buta serta amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik.
Untuk warna badan, pembeli EC40 juga kini sudah boleh memilih warna baharu Sand Dune yang sebelum ini diperkenalkan menerusi SUV EV lebih besar iaitu EX90. Warna lain yang turut disediakan termasuk Aurora Silver, Onyx Black dan Crystal White. Kesemua pilihan warna badan ini boleh dipadankan bersama dalaman sama ada balutan material suede Charcoal Connect atau Charcoal Microtech.
Pembelian Volvo EC40 ini datang dengan perlindungan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan, dan juga waranti untuk bateri selama lapan tahun atau 160,000 km.
The post Volvo EC40 Ultra Single Motor 2026 di M’sia — galeri penuh EV RWD; 238 hp/420 Nm, 488 km, RM249k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















































