Model elektrik kompak Volkswagen, Volkswagen ID.3, boleh dikatakan tidak melalui perjalanan yang mudah sejak pertama kali diperkenalkan sebelum pandemik COVID-19. Ketika itu, pelbagai isu perisian menyebabkan pelancarannya tertangguh selama beberapa bulan. Apabila mula dijual, model tersebut turut menerima kritikan dari pelbagai aspek.

Masuk tahun 2023, Volkswagen memperkenalkan versi facelift bagi menangani sebahagian masalah tersebut. Namun, bagi memastikan model ini kekal relevan sehingga kemunculan generasi baru yang dijangka dikenali sebagai Volkswagen ID. Golf pada tahun 2028, Volkswagen kini bersedia untuk memperkenalkan kemas kini yang lebih menyeluruh kepada ID.3. Model yang diperbaharui ini akan dikenali sebagai Volkswagen ID.3 Neo dan dijadualkan membuat kemunculan sekitar pertengahan April.

Teaser yang didedahkan menunjukkan perubahan ketara pada bahagian hadapan. Lampu utama kini disambungkan dengan jalur hitam bersama bar lampu LED yang lebih tebal merentasi keseluruhan bahagian hadapan, sekali gus membingkai lampu utama.

Volkswagen ID.3 Neo – hatchback EV dipertingkat dengan teknologi, kelengkapan, sistem bantuan baru

Rekaan ini, bersama logo Volkswagen bercahaya, dijangka memberikan identiti visual yang lebih selari dengan model elektrik akan datang seperti Volkswagen ID. Polo. Selain itu, sebuah bukaan udara berbentuk U yang merentasi bahagian bawah bampar turut diperkenalkan bagi menyerlahkan lagi penampilan hadapan.

Perubahan luaran turut melibatkan penghapusan beberapa elemen reka bentuk unik yang sebelum ini menjadi identiti ID.3, termasuk bumbung dan pintu belakang berwarna hitam. Pada ID.3 Neo, bahagian tersebut akan dicat mengikut warna badan, memberikan penampilan yang lebih konvensional. Jalur kemasan yang menghubungkan tiang A hingga ke spoiler belakang pula akan dikekalkan dalam kemasan hitam.

Di dalam kabin, ID.3 Neo akan dilengkapi sistem infotainmen terkini Volkswagen yang dikenali sebagai Innovision, yang juga bakal digunakan pada model seperti Volkswagen ID. Cross. Sistem ini menyepadukan sebuah aplikasi baru yang membolehkan pengguna melanggan fungsi atau perkhidmatan tambahan secara dalam talian.

Volkswagen ID.3 Neo – hatchback EV dipertingkat dengan teknologi, kelengkapan, sistem bantuan baru

Selain itu, ciri kunci digital berasaskan telefon pintar turut ditawarkan sebagai pilihan, dengan kelebihan ia tidak memerlukan aplikasi berasingan. Volkswagen juga menambah fungsi vehicle-to-load (V2L) berkuasa 3.6 kW, membolehkan tenaga daripada bateri kenderaan digunakan untuk menghidupkan peralatan elektrik luaran.

Seperti yang dilakukan pada Volkswagen Golf Mk8.5, ID.3 Neo juga bakal menerima kembali butang fizikal pada stereng, menggantikan kawalan kapasitif yang sebelum ini sering menerima kritikan. Terdapat juga harapan bahawa kawalan fizikal untuk sistem penyaman udara akan diperkenalkan, sepertimana yang dijangka pada ID. Polo dan ID. Cross. Paparan instrumen berkemungkinan dibesarkan.

Dari segi teknologi pemanduan, ID.3 Neo bakal menerima mod pemanduan satu pedal yang telah lama dinantikan. Turut diperkenalkan ialah fungsi pengesanan lampu isyarat yang meningkatkan lagi keupayaan sistem bantuan pemanduan separa autonomous Travel Assist Tahap 2. Teknologi ini sebenarnya telah diperkenalkan lebih awal pada model lain dalam keluarga ID seperti Volkswagen ID.4, Volkswagen ID.5 dan sedan elektrik Volkswagen ID.7.

Volkswagen ID.3 Neo – hatchback EV dipertingkat dengan teknologi, kelengkapan, sistem bantuan baru

Selain itu, varian asas Pure bagi ID.3 Neo akan menggunakan motor belakang baru APP 350 yang menghasilkan kuasa 190 PS atau 140 kW. Angka tersebut lebih tinggi berbanding motor APP 310 sebelum ini yang menawarkan 170 PS dan 310 Nm tork.

Motor baru ini juga dikatakan lebih cekap tenaga. Ia dipadankan dengan bateri LFP berkapasiti 58 kWh yang menggantikan pek bateri NMC 52 kWh sebelum ini, sekali gus meningkatkan jarak pemanduan sehingga 438 km mengikut kitaran WLTP, iaitu kira-kira 40 km lebih jauh berbanding model terdahulu.

The post Volkswagen ID.3 Neo – hatchback EV dipertingkat dengan teknologi, kelengkapan, sistem bantuan baru appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts