Volkswagen Malaysia tampil meriah di acara Auto Car Expo (ACE) 2025 yang berlangsung hujung minggu ini di Setia City Convention Centre dengan mempersembahkan barisan penuh model terbaru mereka. Tumpuan utama sudah tentu pada model Golf generasi kelapan versi facelift, yang kini hadir dalam dua varian — R-Line dan GTI. Turut dipamerkan ialah SUV mewah Touareg R-Line serta Tiguan Allspace R-Line.
Ikon hatchback berprestasi, Golf GTI, kini tampil dengan wajah baru dan masih menggunakan enjin petrol 2.0 liter turbo empat silinder EA888 yang mampu menjana 265 PS dan 370 Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan.
Dengan kombinasi ini, Golf GTI Mk8 mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 5.9 saat. Prestasinya turut dibantu oleh sistem pengunci differential elektronik XDS dan penyerap hentak adaptif Dynamic Chassis Control (DCC).
Turut menyertai versi GTI ialah Golf 1.5 eTSI R-Line, yang menggunakan sistem hibrid ringkas 48 volt dengan belt-driven starter-generator. Sistem ini membantu pecutan dan membolehkan enjin ditutup ketika kenderaan meluncur bagi menjimatkan bahan api. Enjin 1.5 liter turbo ini menghasilkan 150 PS dan 250 Nm tork, dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan yang memacu roda hadapan.
Bahagian dalaman Golf facelift ini juga menerima kemas kini ketara. Skrin infotainmen kini lebih besar, berukuran 12.9 inci berbanding maksimum 10 inci pada model terdahulu. Lebih menarik, Volkswagen kembali menggunakan butang fizikal pada stereng menggantikan kawalan sentuhan kapasitif sebelum ini. Model ini turut dilengkapi sistem kawalan suara pintar IDA yang kini disepadukan dengan teknologi ChatGPT untuk pengalaman pengguna yang lebih interaktif.
Selain model Golf, Volkswagen turut mempamerkan SUV premium Touareg R-Line dan Tiguan Allspace R-Line, menjadikan keseluruhan barisan pameran kali ini merangkumi segmen hatchback dan SUV utama jenama tersebut di Malaysia.
Melengkapkan kehadiran jenama di bawah kumpulan Volkswagen di ACE 2025, Audi turut mempamerkan SUV mewah tujuh tempat duduknya — Audi Q7. Menariknya, model ini dipasang di Malaysia, menjadikannya salah satu SUV premium tempatan yang menampilkan teknologi kejuruteraan Jerman terkini.
Audi Q7 3.0 TFSI dikuasakan oleh enjin petrol V6 3.0 liter turbo dengan sistem hibrid ringkas 48 volt, yang mampu menghasilkan 340 PS dan 500 Nm tork. Kuasa ini disalurkan ke semua roda menerusi transmisi automatik lapan kelajuan Tiptronic, menjanjikan prestasi lancar serta pemanduan stabil dalam pelbagai keadaan jalan.
Dari segi pengendalian, Q7 dilengkapi sistem all-wheel steering yang meningkatkan kelincahan ketika memandu di bandar serta kestabilan pada kelajuan tinggi. Suspensi udara adaptif yang ditala secara sporty pula membolehkan ketinggian casis dilaras mengikut keadaan pemanduan, memberikan keseimbangan antara keselesaan dan prestasi.
Penampilan luarannya diserlahkan dengan lampu utama HD Matrix LED bersama lampu tinggi laser untuk pencahayaan optimum, sementara pakej S line dengan pakej penggayaan gelap memberikan sentuhan agresif dengan kemasan hitam pada gril, cermin sisi dan beberapa bahagian lain. Lengkap dengan rim aloi Audi Sport 22 inci jenis V-spoke, Q7 tampil mewah dan berkarisma.
Bahagian dalamannya pula menonjolkan kemewahan dan teknologi canggih. Antara kelengkapan standard termasuk head-up display, pintu dengan fungsi tutup lembut, tirai cahaya di pintu belakang serta sistem infotainmen Audi Connect dengan navigasi, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Terdapat juga pengecas tanpa wayar berteknologi Qi dan sistem audio premium Bang & Olufsen 3D dengan 19 pembesar suara yang menawarkan pengalaman bunyi sinematik.
Bagi aspek keselamatan, Audi Q7 dilengkapi rangkaian sistem bantuan pemandu terkini termasuk brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi stop-and-go, bantuan kekal lorong, bantuan mengelak halangan, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, brek automatik ketika mengundur serta amaran pintu terbuka. Lampu tinggi adaptif turut memastikan pemanduan malam lebih selamat tanpa menyilaukan pengguna jalan raya lain
Sempena ACE 2025, Volkswagen Malaysia turut menawarkan promosi menarik — 10 pelanggan pertama yang membuat tempahan mana-mana model Volkswagen atau Audi di acara ini berpeluang memutar roda tuah untuk memenangi hadiah eksklusif berupa peranti Samsung seperti telefon pintar, jam pintar, tablet dan fon telinga tanpa wayar.
The post Volkswagen Golf GTI, 1.5L eTSI R-Line facelift dipamer di ACE 2025 – Azizulhasni Awang buat penampilan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

































