Polis DiRaja Malaysia Daerah Bentong, Pahang telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa pihaknya telah menangkap seorang lelaki berhubung satu video aksi drfit yang dirakam dan tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pada 2 Mac 2026 pihak Polis IPD Bentong telah mengesan satu video klip berdurasi 14 saat yang tular di platform media sosial TikTok memaparkan sebuah BMW 325i yang dipandu secara berbahaya dengan melakukan aksi drift di selekoh jalan naik Genting Highland.
Susulan itu, satu usaha untuk mengesan pemandu kenderaan berkenaan telah pun dijalankan bagi membantu siasatan dan akhirnya pada 6 Mac seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun telah hadir ke pejabat trafik IPD Bentong kira-kira pukul 11 pagi bersama kenderaan tersebut.
“Suspek kemudiannya telah ditangkap dan kenderaan berkenaan turut disita bagi tindakan selanjutnya. Ujian saringan awal air kencing dijalankan terhadap suspek mendapati keputusan negatif.
“Pihak polis telah membukan kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya kepada orang awam,” kata kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam kenyataan yang sama Ketua Polis Daerah Bentong Supt. Zaiham Mohd Kahar turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas serta tidak melakukan sebarang aksi pemanduan berbahaya yang boleh mengancam keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
The post Tular video Drift di Jalan Genting Highland – polis tangkap pemandu dan sita sebuah BMW 325i appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















