Triumph Trident 800 kini tiba di Malaysia, dilancarkan pada harga jualan RM53,900 tidak termasuk insurans, dalam pilihan tiga warna iaitu Ash Grey/Diablo Red, Carnival Red/Graphite dan Jet Black. Meskipun sekali imbas nampak seperti sama sahaja dengan Trident 660, roadster baru ini menerima peningkatan menyeluruh, yang menjadikannya lebih berprestasi dan lebih agresif.
Tumpuan utama adalah di bahagian enjin, di mana Trident 800 ini menggunakan unit tiga silinder 798 cc sama seperti Tiger 800, dengan tiga throttle body serta salur udara yang direka semula, mampu menghasilkan kuasa 115 PS pada 10,750 rpm and tork 84 Nm pada 8,500 rpm.
Penunggang boleh mengawal penyampaian kuasa ini melalui tiga mod yang disediakan, iaitu Road, Sport dan Rain, sementara transmisi pula menggunakan unit enam kelajuan lengkap dengan quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear.
Berpadanan dengan enjin yang lebih berkuasa ini, suspensi Trident 800 juga dipertingkat, melihatkan penggunaan barangan Showa yang terdiri daripada fork USD 41 mm boleh laras sepenuhnya serta monoshock dengan pelarasan pra beban dan lantunan.
Tugas membrek dijalankan oleh unit cakera 310 mm berkembar dengan angkup empat piston di hadapan dan cakera 220 mm dengan angkup satu piston di belakang. Sebagai tambahan sistem keselamatan, motosikal ini turut didatangkan dengan Cornering ABS dan Traction Control yang boleh mengikut perkiraan sudut condong (lean angle).
Skrin TFT pada Trident 800 boleh disambung kepada telefon pintar melalui bluetooth dan turut diberi adalah cruise control. Mencatat berat keseluruhan 198 kg, Trident 800 datang dengan tangki bahan api 14 liter serta tinggi tempat duduk 810 mm.
Selain versi standard, Triumph Malaysia turut menawarkan satu lagi versi yang dijual pada harga RM56,900, di mana ia datang dengan ekzos Akrapovic serta cermin sisi di hujung pemegang.
The post Triumph Trident 800 dilancar untuk pasaran Malaysia – enjin tiga silinder 798 cc, quickshifter, RM53,900 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

























































