Selain Trident 800, Triumph Malaysia turut melancarkan Street Triple 765 yang lebih agresif, ditambah dengan nama RX di belakangnya. Duduk lebih tinggi daripada Street Triple RS, model ini dijual pada harga RM81,100 tidak termasuk insurans.
Mula digunakan pada tahun 2015, RX membawa identiti sebuah jentera yang lebih berprestasi, dan pada Street Triple 765 ini antara perubahan paling penting adalah suspensi, yang terdiri daripada fork USD Öhlins NIX30 di hadapan dan monoshock Öhlins STX40 di belakang – kedua-duanya boleh dilaras sepenuhnya.
Kemudiannya, kedudukan menunggang Street Triple 765 RX ini juga menjadi lebih agresif hasil penggunaan pemegang jenis clip-on, manakala sistem brek menggunakan set berkembar cakera 310 mm bersama angkup Brembo Stylema di hadapan dan cakera 220 mm dengan angkup Brembo satu piston di belakang. Pam brek atas pula menggunakan unit Brembo MCS.
Menurut Triumph, Street Triple 765 RX hanya akan dijual pada tahun ini sahaja, dan ia menampilkan kemasan khas yang termasuk logo RX pada ekzos, tempat duduk khas RX, upper yoke cetakan khas mesin serta warna Matt Aluminium Silver dengan subframe dan rim Diablo Red.
Enjin tiga silinder 765 cc pada motosikal ini bagaimanapun adalah sama seperti 765 RS, dan kuasanya juga masih 130 PS pada 12,000 rpm dan tork 80 Nm pada 9,500 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan, lengkap dengan quickshifter naik dan turun gear.
Informasi penting dipaparkan melalui skrin TFT lima inci dan penunggang disediakan dengan tambahan mod ABS Track. Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk rim 17 inci dengan tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP V3, Optimised Cornering ABS, Traction Control dan tangki bahan api 15 liter. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 188 kg.
The post Triumph Street Triple 765 RX tiba di Malaysia – lebih agresif, suspensi Ohlins boleh laras, harga RM81,100 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



































