Minggu ini isu paling popular yang dikongsikan terutamanya di kalangan netizen ialah kesesakan trafik luar biasa yang berlaku di sekitar ibu kota dan Lembah Klang. Ada yang mengambil masa sekitar dua jam perjalanan antara Petaling Jaya ke Ampang. Ada yang ‘sangkut’ dalam kesesakan ‘super padu’ ini hampir tiga jam untuk perjalanan dari Klang ke Cheras. Bukan setakat pada waktu puncak pagi dan petang, kesesakan lalu lintas ini boleh dikatakan berlaku tidak kira waktu, waima jam 11 malam pun masih ada yang ‘sangkut’ di jalan raya.
Kesesakan luar biasa sering kali dikaitkan dengan waktu puncak (hari biasa), berlakunya kemalangan jalan raya, ada kenderaan rosak, hujan lebat (terutamanya jika ada jalan yang dinaiki air banjir) dan kerja selenggara jalan, atau pihak polis membuat sekatan jalan raya (tapi agak jaranglah polis nak buat SJR masa puncak atau di jalan yang memang kronik kesesakannya).
Jadi apakah punca kesesakan lalu lintas yang berlaku sepanjang minggu ini? Kuala Lumpur Command & Control Centre (KLCCC) memaklumkan bahawa kesesakan trafik yang berlaku sekitar ibu kota minggu ini dikenal pasti berpunca daripada peningkatan 75% kenderaan keluar masuk ke bandar raya ini berbanding minggu lalu, laporan Harian Metro.

Menerusi pemantauan KLCCC, terdapat peningkatan aliran keluar masuk kenderaan setiap hari berbanding minggu lalu, khususnya pada waktu puncak pagi, tengah hari dan petang.
“Lonjakan ini dipercayai dipengaruhi peningkatan pergerakan sempena musim perayaan, selain faktor rutin waktu bekerja. Selain itu, insiden kemalangan kecil dan kenderaan rosak di beberapa laluan utama turut menyumbang kepada kesesakan yang berlarutan. Pertambahan jumlah kenderaan persendirian yang memasuki pusat bandar juga dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama keadaan trafik yang perlahan.
“Antara laluan utama yang dikesan mengalami pertambahan trafik ketara ialah Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan Kuching, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2). Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, menggunakan aplikasi navigasi trafik secara masa nyata serta mempertimbangkan penggunaan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan di pusat bandar,” katanya.

Bila membaca komen netizen di laman media sosial, ada yang mengaitkannya dengan lebih 800,000 unit kenderaan baharu terjual di Malaysia pada tahun lalu mendorong pertambahan kenderaan di jalan raya. Ada juga yang berpendapat penggunaan pengangkutan awam masih rendah sekitar 20-30% sahaja kerana masih ramai yang memilih untuk memandu sendiri.
Selain itu, masalah kesesakan juga dikatakan disumbangkan oleh keadaan jalan raya yang tidak berubah (masih ada yang mengekalkan dua lorong) walhal pertambahan kenderaan mendadak saban tahun, ramai yang keluar membeli-belah atau memghadiri acara sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan juga nak sambut Ramadan. Macam-macam lagi ulasan mengenai isu ini dibincangkan dan diperdebatkan di laman media sosial. Apa komen atau teori anda pula? Kongsikan bersama kami di ruangan di bawah.
The post Trafik meningkat sehingga 75% jadi faktor kesesakan di sekitar ibu kota sepanjang minggu ini – KLCCC appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















