Selepas membuat kemunculan sulung global di Thailand Ogos tahun lalu, Toyota Vios dengan unit rangkaian kuasa hibrid elektrik akhirnya disahkan bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. UMW Toyota masih belum mengumunkan tarikh pelancaran model ini, namun beberapa perincian awalan dan juga harga anggarannya telah pun disiarkan menerusi laman web rasmi Toyota Malaysia.
Nampaknya Malaysia bakal menerima Vios Hybrid ini dengan dua varian yang sama seperti pasaran Thailand iaitu varian asas Vios 1.5 HEV AT dengan anggaran harga atas jalan tanpa insuran RM103,900, dan juga varian yang lebih sporty Vios 1.5 HEV GR Sport AT berharga RM109,900.
Spesifikasi teknikal bagi model pasaran Malaysia ini masih belum diumumkan. Namun berdasarkan model pasaran Thailand, Vios Hybrid ini menerima unit rangkaian kuasa yang sama dengan Yaris Cross Hybrid di mana kedua-dua model ini diasaskan dari platform sama iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA).
Unit rangkaian kuasa hibrid tersebut menampilkan enjin 2NR-VEX 1.5 liter NA empat silinder yang menghasilkan 91 PS dan tork maksima 121 Nm, digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork 141 Nm. Secara keseluruhan, sistem HEV ini menghasilkan kuasa gandingan 111 PS, dan ia disalur ke roda hadapan menerusi kotak gear E-CVT. Bagi motor elektrik, ia menerima kuasa yang dibekalkan dari bateri lithium-ion berkapasiti 0.7 kWj.
Menurut UMW Toyota, Vios Hybrid pasaran Malaysia ini mampu mencapai penggunaan bahan api serendah 3.6L/100 km dalam kitaran ujian NEDC. Jadi sekiranya unit rangkaian kuasa yang sama seperti di Thailand diberikan pada Vios Hybrid pasaran Malaysia, ia bukan sahaja lebih jimat bahan api dan lebih mesra alam, malah lebih berkuasa dari Vios biasa – bagi model pasaran Malaysia sedia ada, ia dibekalkan dengan enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder petrol yang menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 138 Nm tork pada 4,200 rpm.
Pada sebelah luar, varian asas Vios HEV masih lagi nampak sama seperti Vios petrol biasa, kecuali gril atas menerima kemasa krom gelap. Bahagian kabin juga masih nampak serupa, tetapi Vios Hybrid nampaknya diberikan lampu suasana kabin baharu serta sistem infotainmen dengan skrin Digital Audio lebih besar bersaiz 10.1-inci. Ia juga disahkan menerima sistem amaran yang memberitahu sekiranya ada pejalan kaki atau penunggang basikal datang menghampiri kenderaan.
Manakala untuk Vios HEV GR Sport, ia tampil dengan penggayaan lebih garang termasuk diberikan rim aloi 17-inci dengan tayar Continental PremiumContact 6 205/50R17, bampar hadapan dengan rekaan seperti GR Yaris menampilkan gril sarang lebah dan juga liang udara sisi lebih besar, serta kit badan lain. Bukan hanya nampak lebih garang, Vios HEV GR Sport pasaran Malaysia ini juga disahkan akan menerima talaan semula terhadap spring dan penyerap hentak bagi memberikan pengendalian yang lebih baik.
Kabin Vios HEV GR Sport ini juga menerima penampilan yang lebih sporty melibatkan balutan upholsteri gandingan kulit dan sued serta sulaman logo GR pada tempat duduk dan serlahan perapi-perapi berwarna perak pada tema warna hitam secara keseluruhan. Versi ini turut diberikan unit infotainmen Digital Audio 10.1-inci yang sama seperti Vios HEV biasa yang boleh dihubungkan kepada telefon pintar menerusi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Tak kira dari segi perincian mahupun harga, Vios Hybrid ini nampaknya benar-benar mahu mencabar Honda City Hybrid di Malaysia. Honda Malaysia hanya menawarkan City Hybrid hanya dalam penggayaan paling sporty iaitu City RS e:HEV yang dijual pada harga RM111,900.
The post Toyota Vios Hybrid 2026 bakal dilancar tak lama lagi – ada varian GR Sport, 3.6L/100 km, RM105k-RM110k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
























