2025 FIA World Rally Championship / Round 12 / Central European Rally / 16-19th October 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein
Baru sahaja mengumumkan bahawa ia akan bersara dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) pada penghujung musim ini, Kalle Rovanperä melakukan kejutan dengan memenangi Central European Rally 2025 hujung minggu lalu. Malah dengan rakan sepasukannya dari Wales, Elfyn Evans menamatkan perlumbaan di tempat kedua, membolehkan Toyota merangkul gelaran juara dunia kategori pengeluar WRC walaupun kejohanan musim ini masih berbaki dua pusingan!
Ini bermakna Toyota kini telah merangkul gelaran tersebut sebanyak sembilan-kali, hanya kurang satu lagi gelaran berbanding pasukan yang diiktiraf paling berjaya dalam WRC iaitu Lancia yang telah dinobatkan gelaran yang sama sebanyak 10-kali.
Kalle Rovanpera mengambil kesempatan dengan terus memandu secara konsisten selepas menjadi pendahulu perlumbaan pada awal pagi Sabtu dalam rali yang diadakan merentas Republik Czech dan Austria ini, selepas seorang lagi rakan sepasukannya iaitu Sebastian Ogier mengalami kemalangan yang terjadi akibat tayar hadapan kirinya pecah.
Setelah habis kesemua SS pada hari Ahad, Rovanperä disahkan sebagai juara dengan kelebihan 43.7 saat berbanding Evans. Tempat ketiga adalah milik pemandu pasukan Hyundai, Ott Tänak yang menghabiskan rali ini 49.3 saat di belakang Rovanperä.
Dengan berbaki hanya Rally Japan dan Rally Saudi Arabia di mana kedua-duanya akan berlangsung bulan hadapan, Elfyn Evans kini berada di kedudukan pertama dalam saingan bagi merebut gelaran Juara Dunia 2025 dengan pungutan 247 mata. Ogier dan Rovanperä pula masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga dengan pungutan mata yang sama sebanyak 234 mata.
Satu-satunya pemandu bukan Toyota yang masih boleh bersaing untuk gelaran juara dunia tahun ini adalah Ott Tänak dengan pungutan 197 mata, manakala seorang lagi pemandu Hyundai yang juga Juara Dunia tahun lalu iaitu Thierry Neuville berada di tempat kelima dengan 166 mata.
2025 FIA World Rally Championship / Round 12 / Central European Rally / 16-19th October 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein
“Setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh pasukan, termasuk semua orang di bengkel dan di sini di service park. Untuk memenangi kejuaraan pengeluar sekali lagi membuktikan bahawa kami adalah pasukan yang terbaik. Semua orang bekerja dengan sangat baik bersama-sama, jadi terima kasih. Ia adalah hujung minggu yang sangat baik untuk kami.
“Seronok dapat kembali ke asfalt dan rentak yang kami miliki cukup pantas, jadi kami telah melakukan tugas yang baik bersama pasukan. Kejuaraan pemandu masih lagi tidak mudah tetapi sekurang-kurangnya telah memerluaskan peluang kami dengan keputusan ini dan kami akan berterusan begini pada Rally Japan selepas ini,” kata Rovanperä yang juga merupakan Juara Dunia WRC bagi musim 2022 dan 2023.
The post Toyota rangkul gelaran Juara Dunia WRC kategori pengeluar kali ke-9 di Central European Rally 2025! appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

























