Pameran Permotoran Antarabangsa Bangkok 2026 (BIMS 2026) yang mula dibuka minggu ini menyaksikan banyak model penting untuk rantau ini mula membuat penampilan secara rasmi. Antaranya ialah Toyota Hilux Travo dan Travo-e 2026, yang didedahkan pada November tahun lalu. Trak pikap generasi ke-9 itu ditawarkan dalam banyak varian untuk pasaran negara jiran tersebut.
Ini termasuklah Single Cab (2.8 MT atau AT, kedua-duanya dengan pacuan empat-roda 4Trex) dari 767k baht (RM93k); Smart (satu-sengah cab) dan Double-Cab (2.8 MT atau AT, Prerunner 2WD atau 4Trex 4WD) dari 789k baht (RM95k); Overland spesifikasi tinggi (hanya double-cab dan 2.8 AT, Prerunner 2WD atau 4Trex 4WD) dari 1.102 juta baht (RM133k); dan Travo-e Double Cab dengan harga 1.491 juta baht (RM180k).
Model ICE-nya menggunakan enjin 1GD-FTV 2.8 liter empat-silinder turbodiesel dengan janaan 204 PS/500 Nm, digandingkan bersama sama ada kotak gear manual enam-kelajuan (dihadkan kepada 420 Nm) atau automatik enam-kelajuan. Sementara itu, Travo-e dilengkapi dengan motor depan dengan janaan 112 PS/205 Nm dan motor belakang dengan janaan 176 PS/268 Nm (196 Nm gabungan), sebuah bateri 59.2 kWh (240 km WLTP) dengan kadar pengecasan maksimum 125 kW DC dan 11 kW AC.
Hilux generasi ini terus dibangun menggunakan platform Innovative International Multi-purpose Vehicle (IMV) yang mula diperkenalkan sejak Hilux Vigo generasi ke-7, yang kekal dengan binaan ladder frame , kabin dan pintu yang sama tetapi dengan rekaan luaran dan dalaman yang jauh berbeza, dengan tambahan teknologi baru. Walaupun telah agak berusia, projek IMV kekal menjadi penawaran penting bagi Toyota, dengan beberapa produk terbaru termasuk melalui Hilux Champ dan Land Cruiser FJ.
Untuk itu, Hilux juga sudah menerima kemaskini mekanikal yang penting yang dirujuk oleh Toyota sebagai Dynamic Cloud. Ini termasuklah titik mounting badan tambahan untuk lebih kukuh, suspensi yang dipertingkat untuk kendalian lebih lancar, mounting enjin hidraulik dan mounting badan shear-type bagi mengurangkan gegaran, serta shaft stereng yang lebih besar untuk lebih ketepatan dan maklum balas.
Semua varian Hilux di Thailand kecuali Single Cab dilengkapi dengan brek cakera di belakang; stereng kuasa elektrik pula ditawarkan dari varian Overland Plus AT ke atas, dan adanya Toyota Safety Sense 3.0 terkini (ACC dipertingkat, bantuan ke tengah lorong).
Beberapa varian turut datang dengan Multi-Terrain System (MTS) — dail rotari dengan pilihan mod pemanduan Dirt, Sand, Mud, Rock dan Snow. Turut tersedia ialah ciri Multi-Terrain Monitor dengan penglihatan sekeliling dan bawah badan kenderaan terbina ke dalam kamera 360-darjah baru. Model pacuan empat roda kini datang standard dengan ciri kekunci differential belakang.
Varian Travo-e mengekalkan artikulasi roda 500 mm, kedalaman meredah air 700 mm dan kapasiti menunda 1,600 kg. Dengan adanya motor belakang, gandar belakang yang biasanya ada untuk Hilux telah digantikan dengan tetapan De Dion. Jadi, bila model ini akan sampai ke Malaysia?
Toyota Hilux Travo di Bangkok Motor Show 2026
Toyota Hilux Travo-e di Bangkok Motor Show 2026
The post Toyota Hilux Travo, Travo-e 2026 ditunjuk di Bangkok – 2.8L diesel 204 PS atau EV 240 km WLTP; RM95k-180k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















































































