Toyota Hilux generasi kelapan yang berada dalam pasaran sekarang sudah wujud sejak 2016 dan telah melalui beberapa siri facelift. Namun, sudah tiba masa untuk perubahan besar dan berita baiknya, Hilux generasi kesembilan sedang dibangunkan dan dijangka akan diperkenalkan tidak lama lagi. Meskipun perubahan luaran dijangka tidak terlalu ketara, rekaan dalaman dikatakan akan menerima transformasi menyeluruh.
Ini disahkan lagi apabila beberapa lakaran daripada buku manual alat ganti Toyota bocor dalam internet, dikongsikan oleh akaun Instagram @cars_secrets dan turut dilaporkan oleh Drive. Lakaran tersebut menunjukkan papan pemuka baru dengan rekaan bertingkat – menyerupai gaya Toyota Prado, lengkap dengan tombol gear besar dan corong pendingin hawa tengah.
Tiada skrin panjang bersambung seperti kebanyakan kenderaan moden sekarang, namun skrin sentuh bersaiz besar yang berdiri bebas menjadi tumpuan utama. Menurut Drive, skrin tersebut bersama panel instrumen masing-masing bersaiz 12.3 inci dan dijangka menggunakan perisian yang sama seperti Prado, bukannya sistem Arene serba baru yang diperkenalkan pada RAV4 2026.
Ciri menarik lain yang dapat dilihat ialah dua ruang barangan serta dulang khas untuk telefon di bawah corong pendingin hawa tengah. Terdapat juga satu struktur condong di hadapan tombol gear yang berkemungkinan adalah ruang simpanan, namun tidak mustahil juga ia merupakan skrin tambahan untuk kawalan pendingin hawa. Jika ia hanyalah ruang simpanan, maka kawalan pendingin hawa dijangka diletakkan dalam baris butang di bawah corong udara, sama seperti rekaan pada Prado.
Satu lakaran luaran turut tersebar, menampakkan rupa yang agak serupa dengan ramalan rekaan oleh Theophilus Chin – lampu utama tirus dengan lampu nyalaan siang (DRL) seperti ‘kening’, bar sambungan nipis serta perumah lampu kabus berbentuk segi tiga.
Apa yang belum pernah dilihat sebelum ini ialah rekaan bampar belakang dengan ciri seperti Ford Ranger – satu lekuk pemijak yang membolehkan pengguna naik ke ruang kargo dengan lebih mudah. Lampu belakang juga kelihatan menjulur dengan ketara ke sisi ruang kargo.
Dari segi mekanikal, platform sedia ada dijangka dikekalkan, bersama enjin diesel empat silinder turbo 2GD-FTV 2.4 liter dan 1GD-FTV 2.8 liter. Sistem hibrid ringkas 48-volt yang sebelum ini tidak ditawarkan di semua pasaran juga dijangka dikekalkan. Drive turut melaporkan bahawa stereng kuasa elektrik baru mungkin diperkenalkan, sekaligus membolehkan kemasukan sistem bantuan pemanduan Tahap 2 (Level 2 ADAS).
Toyota Hilux generasi kesembilan dijangka akan diperkenalkan secara rasmi pada tahun ini, sebelum mula dijual di pasaran global pada tahun hadapan. Persoalan utama yang kini bermain di fikiran ramai ialah – adakah ia bakal menjadi Hilux generasi pertama dengan versi elektrik sepenuhnya? Sama-sama kita nantikan jawapannya.
The post Toyota Hilux Travo 2026 – lukisan bahagian dalam tersebar, papan pemuka seperti Prado, skrin tengah appeared first on Paul Tan’s Automotive News.