Toyota hari ini secara rasmi mendedahkan satu lagi model edisi khas hot-hatch GR Yaris di Tokyo Auto Salon 2026, dikenali sebagai sebagai GR Yaris Morizo RR. Model ini diproduksi berdasarkan pengalaman pasukan Toyota Gazoo Rookie Racing (TGRR) dan juga ‘Master Driver’ Gazoo Racing iaitu Morizo (nama samaran bagi pengerusi Toyota, Akio Toyoda ketika berlumba) dalam perlumbaan Nurburgring 24-Jam tahun lalu.
Jadi GR Yaris Morizo RR ini menerima spoiler belakang gentiann karbon gergasi yang sama seperti kereta lumba GR Yaris TGRR, dan ia dilengkapi sekali dengan kit aerodinamik lain termasuk spoiler bawah bampar hadapan serta skirt sisi. Penutup bonet enjin juga ditukar menggunakan komponen yang diperbuat dari material gentian karbon dan ia serupa dengan penutup bonet yang diberikan pada model edisi khas GRMN Yaris sebelum ini.
GR Yaris Morizo RR ini hanya hadir dalam warna badan Gravel Khaki sahaja. Kemudian ia turut menerima gril hadapan dalam kemasan Piano Black, rim dalam kemasan Bronze Matte, angkup brek kemasan kuning, lencana Morizo RR di belakang bersama tanda tangan Morizo diturunkan pada cermin hadapan.
Sudah tentu model edisi khas ini bukan sekadar diberikan tingkat taraf kosmetik, dan ia turut melibatkan talaan semula prestasi. Perkara pertama yang diberikan adalah talaan semula pada suspensi yang memberikan kestabilan yang baik walaupun kereta berkenaan dipandu pada permukaan tidak rata seperti keadaan di Litar Nurburgring.
Talaan suspensi baharu ini juga dibuat dengan mengambil kira kesan aerodinamik lebih kuat yang diberikan pada spoiler belakang yang lebih besar pada model edisi khas ini. Malah sistem stereng bantuan kuasa elektrik (EPS) juga ditala semula bagi diserasikan dengan talaan suspensi baharu berkenaan.
Tidak seperti model-model edisi terhad sebelum ini yang lazimnya hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, GR Yaris Morizo RR ini hanya hadir dengan kotak gear automatik GR-DAT lapan-kelajuan. Ini kerana kereta lumba GR Yaris TGRR yang dipandu oleh Morizo tahun lalu di Nurburgring tahun lalu turut menggunakan kotak gear yang sama untuk menguji sistem transmisi baharu berkenaan.
Kotak gear tersebut diakui tahan dan dapat menamatkan perlumbaan lasak berkenaan. Malah Morizo sendiri mengakui bahawa dia dapat menguasai 15 lap litar ‘The Green Hell’ sepanjang hampir 21 km satu lap itu.
Sistem pacuan semua roda GR Four pada GR Yaris ini masih dikekalkan. Namun untuk mod dengan agihan tork 50:50 yang memberikan cengkaman paling baik, ia kini ditala semula mengikut input yang diberikan oleh Morizo. Oleh itu mod yang dikenali sebagai Gravel sebelum ini berkenaan ditukar kepada mod ‘Morizo’.
Tiada tingkat taraf enjin dinyatakan. Oleh itu GR Yaris Moriz RR ini masih dibekalkan dengan enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang sama seperti sebelum ini, menghasilkan kuasa 304 PS dan tork maksima 400 Nm.
Pada sebelah dalam, model istimewa ini masih mengekalkan kabin yang sama dengan GR Yaris facelift, menampilkan papan pemuka ‘berkotak’ yang didakwa memberikan capaian semua suis kepada pemandu tanpa menggerakkan badan, bersama paparan instrumen digital 12.3-inci.
Apa yang berbeza GR Yaris Morizo RR ini diberikan plat nombir siri khas, serlahan jahitan upholsteri berwarna kuning serta balutan material sued pada tuil brek tangan, tombol gear dan juga roda stereng. Roda stereng model ini tidak sama dengan model standard di mana ia menampilkan diameter lebih kecil, diberikan modul beg udara berbeza dan diberikan logo ‘GR’ di tengah, kedudukan pedal penukar gear yang diubah lebih baik serta suis-suis kawalan dengan kedudukan seperti kereta lumba sebenar yang didakwa dipelajari dari suis-suis kawalan pada roda stereng jentera rali GR Yaris Rally2.
Toyota GR Yaris Morizo RR ini hanya dihasilkan sebanyak 200 unit seluruh dunia, di mana 100 unit untuk pasaran Jepun, dan 100 unit lagi untuk diagih-agihkan kepada beberapa negara di pasaran Eropah. Ia akan mula dijual pada musim luruh tahun ini – untuk pasaran Jepun pelanggan yang berminat perlu membuat cabutan menerusi loteri yang boleh dibeli melalui aplikasi “GR App”.
The post Toyota GR Yaris Morizo RR didedah – hanya 200 unit, 8AT GR-DAT, diasas kereta lumba Nurburgring 24-Jam appeared first on Paul Tan’s Automotive News.































