Hot hatch homolagasi jentera rali WRC, Toyota GR Yaris sekali lagi menerima kemaskini di Jepun, dan untuk versi 2026 ini ia menerima beberapa tingkat taraf perincian dan juga talaan bagi memberikan pengalaman pemanduan prestasi yang lebih baik.
Dari segi fizikal luaran, masih tiada perubahan dilihat di mana GR Yaris 2026 ini masih tampil dengan rupa yang dibawa dari versi facelift 2024. Namun anda boleh kenal model 2026 ini sekiranya meninjau ke dalam kabin, khususnya pada tempat pemandu di mana ia kini menerima roda stereng baharu yang sama seperti diberikan pada model edisi terhad GR Yaris Sébastien Ogier 9x World Champion Edition dan Morizo RR.
Roda stereng berkenaan dihasilkan dengan diameter lebih kecil dan nampak seperti roda stereng kereta lumba sebenar. Gegelang roda stereng berkenaan direka agar ia dapat digenggam dengan selesa oleh kedua-dua tangan, manakala butang-butang kawalannya kini tidak terletak pada jejari dan diposisikan tidak berdekatan antara satu sama lain dan lebih dekat ke bahagian tengah.
Menurut Toyota rekaan tersebut adalah untuk mengelakkan pemandu tersalah menekan butang, dan ia juga menyala bagi memudahkan butang-butang tersebut digunakan pada waktu malam.
Untuk pengedalian, talaan semula dibuat melibatkan sistem stereng berkuasa bantuan elektrik (EPS) di mana ia kini dapat memastikan operasi yang boleh diharap khususnya apabila kereta ini menggunakan tayar dengan cengkaman tinggi, atau ketika meredah selekoh dalam keadaan beban tinggi serta kadar brek yang kuat.
Kadar pengesanan tork stereng juga kini telah diperluaskan dengan mengoptimakan ketegaran torsion bar dengan penderia tork dan perisian kawalan yang diubahsuai. Ia dibuat agar sistem stereng dapat memberikan bantuan lebih optimal dalam situasi “beban yang sangat tinggi”. Talaan baharu ini disempurnakan dengan talaan semula yang dibuat pada penyerap hentak.
GR Yaris 2026 ini masih dipadankan dengan set rim aluminium forged 18-inci yang dibekalkan oleh BBS bersama tayar bersaiz 225/40R18. Varian RZ High Performance dan RZ High Performance dengan Aero performance menerima tayar Bridgestone Potenza Race.
Tiada sebarang perubahan dibuat pada enjin di mana GR Yaris 2025 ini masih menerima enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang sama menghasilkan kuasa 304 PS dan tork maksima 400 Nm. Pembeli boleh memilih varian yang dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, atau kotak gear automatik lapan kelajuan GR DAT.
Kuasa dari enjin dialirkan kepada sistem pacuan semua roda GR Four dengan mod Normal memberikan agihan tork 60:40 antara gandar hadapan dan belakang; mod Gravel memberikan agihan tork 50:50; manakala mod Track akan memberikan agihan tork bervariasi berdasarkan situasi antara 60:40 sehingga 30:70. Gandar hadapan dan belakang juga masih kekal dibekalkan dengan LSD jenis Torsen.
Kemaskini untuk 2026 ini menyaksikan GR Yaris kini ditawarkan dalam lima varian bagi pasaran Jepun iaitu RC, RC dengan pakej Aero Performance, RZ, RZ High Performance, dan RZ High Performance dengan pakej Aero Performance. Ia juga ditawarkan dengan beberapa pilihan opsyen di mana pemanas tempat duduk dan roda stereng kini boleh dipadankan apabila pembeli memilih brek tangan menegak bersama pakej Navigatian atau pakej Comfort.
Di Jepun Toyota GR Yaris 2026 ini dijual pada harga bermula 3,617,200 yen (RM89,268) untuk varian asas RC, sehingga 5,532,200 yen (RM136,528) untuk RZ High Performance dengan pakej Aero Performance (harga adalah untuk versi kotak gear manual enam kelajuan). Pembeli yang mahukan kotak gear automatik GR DAT perlu menambah 350,000 yen (RM8,637) untuk setiap varian.
The post Toyota GR Yaris 2026 di Jepun – roda stereng baharu, talaan semula EPS & suspensi, masih 304 PS/400 Nm appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






































