Kejohanan Toyota GR Malaysia eRacing telah menamatkan tirainya hujung minggu lalu, menyaksikan pasangan adik-beradik Nabil dan Naquib Azlan membuktikan mereka masih mendominasi dunia perlumbaan simulator dengan masing-masing menduduki tempat pertama dan tempat kedua dalam kategori Pro.
Manakala juara kebangsaan dan juara Asia tahun lalu, Taj Izrin Aiman berada di tempat ketiga. Dengan keputusan ini Taj Aiman masih akan mengetuai kontinjen Malaysia ke Toyota GR Asia eSports GT Championship di Bangkok November ini, yang turut akan disertai oleh dua lagi pelumba iaitu Iqbal Suji dan Chong Kai Chang, bagi menentang pelumba-pelumba sim terbaik dari Indonesia, Filipina, Thailand, dan Singapura.
Berbeza dengan kejohanan sebelum ini yang dikenali sebagai GT Cup Malaysia dan hanya menampilkan perlumbaan menggunakan platform Gran Turismo 7, siri kejohanan baharu ini turut menampilkan tiga platform simulator lain iaitu Assetto Corsa, RaceRoom dan juga iRacing. Dengan format baharu ini lebih banyak bakal dapat dicungkil di mana 35% peserta yang dapat mara ke pusingan separa akhir tahun ini adalah muka-muka baharu.
“Kejohanan tahun ini jauh berbeza, dan format baharu bukan sahaja bagus tetapi amat mencabar, ia memaksa kami untuk menyesuaikan diri, belajar dan meningkatkan. Setiap platform menguji aspek teknik pemanduan dan strategi perlumbaan yang berbeza,” kata Nabil, yang membawa pulang gelaran juara bersama hadiah wang tunai bernilai RM25,000.
“Tanpa perlumbaan sim, saya tidak akan berada di tempat saya hari ini. Ia terus membentuk saya menjadi pemandu yang lebih baik dan berdaya saing.” Nabil dan Naquib kini merupakan pelumba profesional sebenar yang bukan hanya berlumba dalam negara, malah telah melangkah ke peringkat nasional berlumba untuk pasukan Wing Hin Motorsport.
“Tanpa perlumbaan sim, saya tidak berada di tempat di mana saya berada sekarang. Ia terus membentuk saya kearah pemandu yang lebih baik, lebih kompetitif,” tambah Nabil yang menyatakan bahawa beliau kembali menyertai perlumbaan ini sebagai sebahagian proses pembangunannya sebagai pelumba profesional.
Kejohanan tahun ini menawarkan hadiah terkumpul berjumlah RM123,000, di mana pusingan terakhir hujung minggu lalu berlangsung di Sunway University. Kejohanan ini dibahagikan kepada dua kelas iaitu Pro dan Campus Tour. Bagi kelas Pro, ia telah bermula pada Mei lalu dengan tiga pusingan berlangsung bagi memilih 40 pelumba untuk mara ke pusingan suku akhir. Dari situ 20 pelumba terbaik meneruskan cabaran ke peringkat separa akhir bagi menyaring 10 pelumba terbaik untuk bersaing diperingkat akhir.
Manakala bagi kelas Campus Tour, TGR Malaysia telah mengunjungi lapan universiti awam dan swasta di seluruh negara bagi mencari bakat-bakat baharu dalam sukan permotoran. 10 pelumba terpantas di setiap kampus tersebut dipilih untuk menyertai kejohanan nasional ini.
“Perlumbaan, kedua-dua alam maya dan nyata, telah menjadi sebahagian dari Toyota sejak 2017. Matlamat kami sentiasa untuk membangunkan bakat Malaysia, mencipta juara, dan membina laluan yang mampan dari sim ke litar,” kata Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.
“Empat daripada sepuluh finalis kami telah pun mencapai kejayaan dalam sukan permotoran dunia sebenar, bukti falsafah Toyota untuk Pushing the Limits for Better,” tambahnya.
The post Toyota GR Malaysia eRacing Championship 2025 – adik beradik Nabil & Naquib Azlan kekalkan dominasi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.