Bulan lalu Toyota telahpun mendedahkan Corolla Concept 2025 di Japan Mobility Show 2025, iaitu model konsep bagi menggambarkan Corolla generasi ke-13 yang akan menggantikan model sedia ada yang sudahpun tujuh-tahun berada dalam pasaran. Namun sebelum Corolla generasi ke-12 direhatkan, ia kini hadir dalam versi satu lagi facelift agar ia kekal segar dan relevan dalam pasaran.
China menjadi pasaran pertama menerima Corolla sedan facelift ini, dan kami temui model berkenaan dipamerkan di Auto Guangzhou 2025. Model ini menerima perubahan drastik pada bahagian muka, menampilkan rekaan jerung hammerhead seperti yang telah diberikan pada model-model terkini Toyota termasuk Prius, Crown, Camry facelift dan sebagainya.
Rekaan baharu ini memberikan ‘muncung’ yang lebih tajam dengan gril hadapan yang lebih nipis, diapit dengan lampu utama berbentuk-C. Gril bawah pada bampar juga kini lebih kecil, terhubung kepada kemasan berbentuk-L pada kiri dan kanan yang menjadi perumah kepapa lampu kabus LED.
Badan sisi sehingga ke bahagian belakang pula masih lagi nampak sama. Apa yang jelas berbeza adalah rekaan rim aloi baharu, dan juga bar krom yang merentangi penutup but belakang kini diganti dengan bar berlampu.
Di dalam, Corolla facelift 2026 ini diberikan papan pemuka yang telah dirombak – ia kini nampak lebih ‘nipis’ dan nampak lebih bersegi, menampilkan liang penghembus udara seakan merentasi sepenuhnya papan pemuka tersebut. Konsol tengah juga kini direka lebih lebar yang boleh menempatkan dua telefon pintar pada ruang storan, di mana salah satu daripadanya merupakan pad pengecas tanpa wayar.
Pemandu menerima paparan instrumen digital dengan skrin 8.8-inci, manakala di tengah terdapat skrin sesentuh infotainmen bersaiz 12.9-inci yang diletakkan seakan terapung. Skrin gergasi tersebut dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8155, dan ia turut menempatkan suis-suis maya untuk kawalan pendingin hawa bagi memansuhkan butang-butang fizikal.
Model pasaran China ini menerima enjin M20E-FTS 2.0 liter empat-silinder NA berkuasa 171 PS digandingkan bersama kotak gear CVT. Padanan ini sebenarnya menggantikan dua pilihan enjin petrol penuh sebelum ini pada pasaran berkenaan iaitu enjin 9NR-FTS 1.2 liter empat-silinder dan juga enjin M15B-FTS 1.5 liter tiga-silinder.
Juga terdapat varian dengan unit rangkaian kuasa hibrid ditawarkan untuk Corolla facelift pasaran China ini yang menggandingkan enjin 1.8 liter kitaran Atkinsin berkuasa 98 PS dan juga dua buah motor elektrik serta bateri NMC baharu. Menurut Toyota varian lebih mesra alam ini mampu mencapai penggunaan bahan api serendah 4.13 liter untuk setiap 100 km serta jarak gerak sejauh 1,041 km.
Untuk tunggu model generasi ke-13 muncul sekurang-kurangnya tiga tahun lagi, tak mustahil versi facelift ini turut akan diperkenalkan pada pasaran global termasuk Malaysia. Namun ia mungkin akan berbeza dari segi penawaran unit rangkaian kuasa, dan juga sistem infotaimen dengan jangkaan suis-suis kawalan fizikal mungkin akan dikekalkan.
The post Toyota Corolla sedan facelift 2026 di Guangzhou – muka dan papan pemuka baharu, akan ke Malaysia? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.































