Toyota bakal mempamerkan Corolla Cross yang diubahsuai sebagai kenderaan lebih lasak digelar sebagai Corolla Cross Nasu Edition di acara budaya automotif terbesar di Amerika Syarikat iaitu SEMA bagi edisi 2025, yang bakal berlangsung bulan hadapan.
Model konsep ini dibina oleh pasukan Pembangunan Komponen Servis dan Aksesori Toyota (SPAD) Amerika Syarikat, dengan pembinaan komponen-komponen khas menggunakan rekaan CAD, pencetak 3D, pemesinan CNC dan pelbagai lagi. Sesuai dengan namanya yang diambil dari Gunung Nasu di Jepun yang popular sebagai destinasi untuk aktiviti seperti mendaki dan pelbagai aktiviti lasak lain, Corolla Cross Nasu Edition ini diberikan pelbagai tingkat taraf membolehkan ia meredah laluan off-road serta menampilkan rupa lebih lebih lasak.
Badan Corolla Cross Nasu Edition ini ditinggikan lagi menerusi pemadanan komponen suspensi yang dibuat khas hanya untuknya, bersama set rim aloi yang diambil dari trak pikap Toyota, dibalut dengan tayar All-Terrain Toyo Open Country A/T III.
Kemudian ia menerima kit badan khas yang terdiri dari pelindung-pelindung badan pada semua perumah roda yang lebih ‘gemuk’, bampar hadapan dan belakang dengan panel bawah yang nampak lebih lasak serta penutup bonet hadapan dengan skup udara. ‘Nasu’ dalam bahasa Jepun juga bermaksud ‘Terung’, dan sebab itulah badan Corolla Cross Nasu Edition ini dibalut dengan pelekat berwarna ungu.
Atas bumbung, Corolla Cross ini dipadankan dengan set rak bumbung yang menampilkan bakul kargo dan juga rak basikal yang membawa basikal binaan khas bagi memperingati juara dunia junior basikal bukit, Asa Vermette. Manakala pada ruang but, ia dilengkapi dengan sistem laci binaan khas, peti sejuk, dan juga tray gelangsar bagi memudahkan penyimpanan barang dibuat untuk aktviti yang mengambil masa lebih lama.
Aspek pencahayaan juga diambil perhatian di mana Corolla Cross Nasu Edition ini diberikan bar lampu tambahan, kemasan bendul pintu menyala, lampu puddle dan juga lampu pada bendul pintu ruang kargo belakang yang boleh menerangi kawasan perkhemahan.
Tiada perubahan dibuat pada unit rangkaian kuasa Corolla Cross Nasu Edition, di mana ia masih dijana oleh sistem hibrid yang menggandingkan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder kitaran Atkinson bersama tiga motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 196 hp dan memacu semua roda.
The post Toyota Corolla Cross Nasu Edition – model konsep lebih lasak dengan roda trak pikap; ke SEMA 2025 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




















