Sedar tak sedar, model generasi sedia ada Corolla iaitu versi generasi ke-12 dengan kod casis E210 sudahpun berada selama tujuh-tahun dalam pasaran. Jika ikut hayat produksi, model ini sudahpun sepatutnya diganti dengan model generasi baharu kerana setiap generasi lazimnya hanya berada dalam pasaran sekitar enam-tahun.
Jadi ketika berlangsungnya Japan Mobility Show 2025 yang bermula hari ini, Toyota mendedahkan Corolla Concept 2025, iaitu bayangan untuk model produksi Toyota Corolla generasi ke-13 yang bukan sahaja menampilkan revolusi dari segi rupa, malah dari segi unit rangkaian kuasa.
“Corolla merupakan simbolik ‘untuk anda’ dari kami – dalam kata lain, membuat kereta yang spesifik untuk seseorang. Selari dengan masa dan kehidupan masyarakat, Corolla sentiasa berubah untuk ‘anda’ di hadapannya. Tidak kira rupa atau jenis badan, ia sentiasa menjadi sebuah Corolla. Sebab itulah Corolla sentiasa menjadi ‘kereta untuk semua orang’. Untuk kekal sebegitu, bagaimana ia harus berevolusi?” kata presiden dan CEO Toyota Koji Sato ketika mendedahkan model konsep ini pagi tadi.
Pendedahan model konsep ini menandakan model generasi baharu nanti bakal menyaksikan perubahan yang agak radikal, seperti yang telah Toyota buat pada Prius dan juga barisan model Crown sebelum ini.
Corolla Concept ini menampilkan sebahagian besar panel bumbung yang diperbuat dari kaca. Ia tidak dibina sebagai sebuah sedan mahupun sebuah hatchback, tetapi lebih mirip kepada sebuah liftback dengan garis bumbung yang terus dibawa ke hujung pintu tailgate belakang. Manakala garis bawah tingkap pula ia bermula dari bahagian bawah cermin pandang sisi, dan ia menaik ke belakang.
Corolla juga nampaknya akan mula menggunakan muka ‘jerung hammerhead‘ bermula model generasi ke-13 ini, selari dengan muka yang telah digunakan pada Prius, Crown, Camry dan beberapa model EV Toyota yang lain. Manakala lampu belakangnya direka ringkas dengan bar lampu bersegi yang nipis bermula dari sisi dan merentangi sepenuhnya penutup but belakang.
Tiada sebarang perincian teknikal diumumkan, namun Toyota membayangkan bahawa Corolla generasi ke-13 ini kelak bukan sahaja ditawarkan dalam versi enjin pembakaran dalaman sepenuhnya, malah turut hadir dengan pilihan sistem hibrid HEV, plug-in hybrid (PHEV) dan juga elektrik penuh (EV). Malah pada fender hadapan belah kiri turut terdapat penutup untuk port pengecas yang lazimnya ada pada model EV dan PHEV.
“Sama ada ia kenderaan EV bateri, plug-in hybrid, hybrid, atau enjin pembakaran dalaman – apa jua sumber kuasa – mari kita buat kereta yang cantik yang semua orang mahu pandu! Kereta ini penuh dengan ciptaan yang disasarkan untuk menjadikannya realiti,” kata Sato.
“Bumi ini luas, dan dunia ini pelbagai. Jalan raya berbeza, begitu juga realiti tenaga. Walau bagaimanapun, ada satu perkara yang kita semua kongsi: rasa keprihatinan terhadap bumi. Dan ada satu lagi perkara… ingin memandu kereta yang kelihatan menarik… Saya rasa ramai di antara kita berkongsi keinginan sedemikian,” tambahnya lagi.
Pada sebelah dalam, Corolla Concept ini turut menampilkan rekaan yang tidak sama dengan kereta-kereta biasa kerana ia tidak mempunyai sebarang panel kawalan atau skrin pada bahagian tengah. Pemandu menerima skrin paparan instrumen bersama pada kawalan untuk penghawa dingin, audio, dan pelbagai lagi pada bahagian kiri dan kanan, manakala penumpang hadapan diberikan skrinnya sendiri.
Toyota juga mendedahkan model konsep ini dalam konfigurasi pemanduan sebelah kiri berbanding di Jepun yang menerapkan pemanduan sebelah kanan – mungkin ia akan mengutamakan pasaran-pasaran besar dunia seperti Amerika Syarikat dan China.
Dalam pasaran global, Corolla masih lagi merupakan model yang lebih popular berbanding ‘seteru’ utama yang juga dari Jepun iaitu Honda Civic. Namun pada pasaran-pasaran tertentu seperti Malaysia, Civic yang sekarang ini nampak lebih sporty dari Corolla mampu memecahkan dominasi tersebut. Jadi mungkin model generasi ke-13 nanti Corolla akan tampil sebagai sebuah model dengan imej sporty sama seperti Civic?
The post Toyota Corolla Concept 2025 didedahkan – badan seperti liftback, lebih sporty, ada pilihan EV appeared first on Paul Tan’s Automotive News.








































