Toyota bZ4X facelift 2026 telah dipamerkan di Bangkok International Motor Show 2026, selepas membuat kemunculan global sekitar setahun lalu, dan dilancarkan di Thailand pada November tahun lalu. Model crossover elektrik ini menjadi antara tarikan utama jenama Jepun tersebut di acara berkenaan.
Menurut Toyota Thailand, bZ4X facelift ditawarkan dalam dua varian iaitu pacuan roda hadapan (FWD) dengan harga 1,529,000 baht (RM185,468) dan pacuan semua roda (AWD) pada 1,649,000 baht (RM200,024).
Varian FWD dilengkapi satu motor elektrik di hadapan dan menghasilkan sebanyak 224 PS dan 269 Nm. Sementara itu, varian AWD menggunakan konfigurasi dua motor, menggabungkan motor hadapan yang sama dengan tambahan motor belakang berkuasa 118 PS dan 170 Nm, menjadikan jumlah output keseluruhan mencecah 343 PS.

Kedua-dua varian menggunakan bateri lithium-ion berkapasiti 73.1 kWh. Untuk jarak pemanduan, versi FWD mampu mencapai sehingga 600 km mengikut kitaran NEDC atau sekitar 525 km WLTP, manakala versi AWD menawarkan sehingga 570 km NEDC atau 481 km WLTP. Dari segi pengecasan, kedua-duanya menyokong pengecasan AC sehingga 22 kW serta pengecasan pantas DC sehingga 150 kW, yang membolehkan pengecasan dari 10% ke 80% dicapai dalam masa sekitar 28 minit.
Di bahagian dalam, model ini hadir dengan kemasan kulit sintetik, tempat duduk hadapan dengan pelarasan kuasa lapan arah serta memori untuk pemandu, tingkap kuasa automatik dengan fungsi anti-pinch, sistem kemasukan tanpa kunci dan butang mula enjin. Turut disediakan ialah paddle shifter untuk kawalan brek regeneratif, paparan instrumen pemandu tujuh inci serta skrin infotainmen bersaiz 14 inci.
Sistem infotainmen menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, lengkap dengan sistem audio enam-pembesar suara bagi varian FWD dan sembilan-pembesar suara untuk AWD. Kemudahan lain termasuk satu port USB-A, tiga USB-C, soket 12-volt, dua pengecas telefon tanpa wayar, pendingin hawa dua zon dengan corong belakang serta lampu ambient kabin dengan 64 pilihan warna.

Dari segi keselamatan, bZ4X facelift dilengkapi pelbagai sistem bantuan pemandu seperti pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan keluar selamat dan sistem bantuan parkir dengan brek automatik. Ia turut disertakan pakej Toyota Safety Sense yang merangkumi sistem pra-perlanggaran dengan brek automatik, kawalan jelajah radar dinamik semua kelajuan, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi pengurangan kelajuan ketika selekoh, kawalan lampu tinggi automatik, amaran keluar lorong serta bantuan pengesanan lorong.
Ciri keselamatan aktif lain termasuk ABS, EBD, bantuan brek, kawalan kestabilan, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki serta lapan beg udara yang meliputi bahagian hadapan, sisi, tengah hadapan, lutut pemandu dan tirai.
Untuk pasaran Thailand, pilihan warna yang ditawarkan termasuk Attitude Black Mica, Precious Metal dan Platinum White Pearl, dengan beberapa pilihan turut tersedia dalam kombinasi dua tona bersama bumbung hitam. Giliran Malaysia pula bila?
The post Toyota bZ4X facelift 2026 ditunjuk di Bangkok — dua varian, hingga 525 km WLTP; dari RM185k di Thailand appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





































