Rakyat Malaysia tidak lagi perlu menunjukkan bukti perjalanan ke luar negara untuk memohon kad fizikal lesen memandu (LMM) mulai esok (23 Januari 2026). Permohonan boleh dibuat di semua kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara, dengan bayaran sebanyak RM20 untuk warganegara Malaysia dan RM100 untuk bukan warganegara. Manakala warga emas berumur 60 tahun ke atas, pemegang lesen Kelas A1 dan A, serta orang kurang upaya (OKU) berdaftar boleh mendapatkan kad fizikal LMM secara percuma.

“Orang awam mempunyai pilihan untuk memohon kad fizikal LMM di semua kaunter JPJ dan UTC di seluruh negara, dan permohonan tidak lagi terhad kepada kategori tertentu,” kata Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

MOT berkata pihaknya sentiasa mengumpul maklum balas agar penambahbaikan berterusan boleh dilaksanakan. Antaranya adalah permintaan kad fizikal LMM oleh sesetengah rakyat Malaysia yang mahu melancong dan memandu di luar negara. Berdasarkan peraturan sedia ada, individu berkenaan boleh memohon kad fizikal LMM dengan menunjukkan bukti keluar negara seperti tiket penerbangan.

“Sebagai langkah mengurangkan karenah birokrasi, JPJ telah diarahkan agar tidak lagi meminta bukti keluar negara,” kata MOT.

Bagi mereka yang selesa menggunakan lesen memandu digital (e-LMM), mereka boleh terus mengaksesnya melalui aplikasi MyJPJ, yang juga membolehkan pembaharuan dilakukan dengan mudah tanpa perlu hadir ke kaunter. e-LMM merupakan sebahagian daripada pelan pendigitalan kerajaan yang turut menyaksikan pengenalan cukai jalan kenderaan digital (e-LKM) pada Februari 2023.

The post Tidak perlu tunjuk bukti perjalanan ke luar negara untuk dapat kad fizikal lesen memandu mulai 23 Jan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts