Semalam kecoh di laman media sosial berhubung kenyataan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara berkenaan penggunaan kad pengenalan atau MyKad dalam kalangan ahli keluarga bagi menikmati inisiatif Budi95 yang turut dikira satu kesalahan.
Bagi mengelakkan kekecohan terus berlarutan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan bahawa tiada sekatan untuk rakyat menggunakan MyKad bagi menikmati subsidi di bawah inisiatif Budi95, selagi ia dilaksana mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Kata JPN lagi, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarahnya sebelum ini adalah berkaitan siasatan terhadap penyalahgunaan empat MyKad oleh seorang individu di Kelantan, selaras dengan bidang kuasa Jabatan dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan dokumen pengenalan diri.

“Dalam hal ini, JPN ingin menegaskan bahawa tiada sekatan untuk rakyat menggunakan MyKad bagi menikmati subsidi di bawah inisiatif Budi95, selagi ia dilaksana mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa. Inisiatif ini merupakan usaha Kerajaan Madani untuk memastikan pemberian subsidi yang lebih bersasar, telus dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.
“Merujuk Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, penggunaan atau pemegangan MyKad oleh individu selain pemilik adalah satu kesalahan. JPN bertanggungjawab memastikan MyKad sebagai dokumen pengenalan rasmi negara sentiasa terpelihara, selamat dan tidak disalahgunakan,” kata JPN menerusi kenyataan yang dikeluarkan lewat petang semalam.
Tambahnya, kenyataan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara bukan bertujuan menyekat mana-mana pihak daripada menikmati subsidi yang disediakan Kerajaan. “Sehubungan dengan itu, orang ramai diseru agar menggunakan MyKad masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain bagi sebarang urusan, termasuk berkaitan pembelian bahan api bersubsidi bagi mengelakkan implikasi undang-undang serta risiko penyalahgunaan identiti,” katanya lagi.
JPN turut berkata, bagi aspek penyalahgunaan subsidi, termasuk dalam pelaksanaan Budi95, penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi-agensi yang berkenaan.
The post Tiada sekatan rakyat guna MyKad nikmati Budi95 selagi ikut peraturan yang dikuatkuasa – JPN appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















