Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan bahawa pihaknya akan mengeluarkan arahan larangan penutupan laluan bagi sebarang kerja-kerja selenggara atau baiki jalan sempena cuti Deepavali hujung minggu ini.
Larangan yang juga akan diimplementasikan sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 (ASEAN 2025) yang bakal berlangsung antara 26 hingga 28 Okt ini bagi laluan-laluan yang terlibat, katanya.
“Ia (larangan selenggara jalan) akan dikoordinasikan bersama LLM dan konsesi-konsesi jalan raya dan sebagainya. Memang itu wajar kita lakukan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Hab Pengecasan EV Bersepadu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan.
Sempena Deepavali ini, kerajaan juga telah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50% bagi kenderaan Kelas 1 (Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) sahaja bermula jam 12.01 tengah malam pada 18 Okt 2025 (Sabtu) dan berakhir jam 11.59 malam, 19 Okt 2025 (Ahad) di semua plaza tol KECUALI di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Manakala sempena dengan ASEAN 2025 pula, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengumumkan penutupan dan lencongan jalan secara berperingkat bermula 25 hingga 28 Oktober untuk enam lebuhraya utama di Lembah Klang dan 25 laluan utama di sekitar ibu kota Kuala Lumpur. Info penuh, boleh dibaca menerusi ARTIKEL INI.
The post Tiada kerja selenggara, baiki jalan sempena Deepavali, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Menteri KKR appeared first on Paul Tan’s Automotive News.