Tidak akan berlaku kenaikan harga kenderaan pemasangan tempatan (CKD) selepas penilaian semula duti eksais berkaitan open market value (OMV) selepas ia dilaksanakan nanti. Begitu isi dan pengesahan yang dikongsikan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam taklimat bersama media, hari ini.

Pada Disember 2025, Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain menjelaskan bahawa walaupun perkara PU(A) 402/2019—Peraturan Cukai Eksais (Penentuan Nilai Barangan Keluaran Tempatan untuk Tujuan Cukai Eksais) akan dilaksanakan tahun ini, ia akan menggunakan kaedah baru yang hanya akan memberi sedikit kesan atau tiada kesan langsung kepada kereta CKD. Sebelum ini, harga kenderaan dikhuatiri meningkat sehingga 30% jika peraturan ini dilaksanakan.

Hujung 2025 juga Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa penilaian semula OMV ini, yang sepatutnya berlangsung bermula Januari 2026, telah ditangguhkan lagi untuk tempoh enam bulan. Menurut Mohd Shamsor, tempoh tambahan itu diperlukan untuk “memuktamadkan pengiraan”, dan bukannya kerana perkembangan lain tentang pelaksaan tersebut. “Pihak kami telah dimaklumkan bahawa kesan daripada langkah ini akan sangat minimal, atau bahkan sifar sama sekali,” jelasnya.

Tiada kenaikan harga kereta CKD pada Julai 2026; isu OMV/402 selesai, sedang muktamadkan pengiraan

“Ia memerlukan masa enam bulan lagi adalah kerana mereka perlu memuktamadkan pengiraan yang disebabkan oleh setiap syarikat yang mempunyai cara berbeza untuk mengisytiharkan perniagaan mereka. Jadi, perlu dipastikan semua cadangan berkaitan adalah adil, untuk memastikannya dikendalikan dengan sama rata. Disebabkan itu mereka perlukan enam bulan lagi,” tambahnya.

Isu OMV/402 ini, yang diwartakan pada hari terakhir 2019, telah menetapkan kaedah baru pengiraan OMV bagi kenderaan CKD, yang akan mempengaruhi berapa banyak cukai yang perlu dibayar, dan juga sudah tentu mempengaruhi harga jualannya. OMV didefinasikan sebagai nilai akhir pasaran bagi kenderaan CKD setelah keluar kilang, sebelum kerajaan mengenakan duti eksais ke atasnya. Kiraan untuk kenderaan CBU adalah berbeza sama sekali.

Peraturan ini sepatutnya dilaksanakan pada 2020, tetapi akibat pandemik, ia telah ditangguhkan ke 2021. Pada penghujung 2020, ia diumumkan pula akan ditangguhkan sekali lagi, dan MAA memohon kepada kerajaan pada 2022 untuk menangguhkannya lagi hingga 31 Disember 2024. Penangguhan terakhir adalah sehingga 31 Disember 2025.

The post Tiada kenaikan harga kereta CKD pada Julai 2026; isu OMV/402 selesai, sedang muktamadkan pengiraan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts