Puspakom telah mengeluarkan peringatan kepada syarikat filem penapis haba (tint) dan ejen kenderaan agar tidak mengelirukan orang awam dengan memberikan gambaran yang salah mengenai peranan syarikat itu dalam pemeriksaan kenderaan, khususnya berkaitan pematuhan cermin gelap.

Ini susulan penyebaran kad jaminan oleh satu jenama filem penapis haba terkenal yang mendakwa produk mereka adalah “patuh JPJ” tetapi “tidak patuh Puspakom”.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman, berkata kenyataan tersebut adalah mengelirukan dan tidak berasaskan fakta.

“Tidak wujud istilah ‘pematuhan tint Puspakom’. Kami tidak menetapkan peraturan kami sendiri. Kami hanya mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan mengaplikasikannya secara seragam dalam semua pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Tiada istilah “patuh JPJ”, “tidak patuh Puspakom” bagi filem penapis haba kenderaan – CEO Puspakom

Beliau menambah bahawa Puspakom mengecam sekeras-kerasnya perbuatan menggunakan nama syarikat itu untuk menunjukkan seolah-olah terdapat piawaian yang berbeza atau untuk menjustifikasikan kegagalan pemeriksaan akibat penggunaan produk yang tidak mematuhi peraturan.

“Kami tidak akan bertolak ansur dengan penggunaan nama kami untuk mengelak tanggungjawab. Jika sesuatu kenderaan gagal dalam pemeriksaan, ia adalah kerana nilai gabungan Penembusan Cahaya Tampak (VLT) antara kaca kenderaan dan filem penapis tidak memenuhi keperluan JPJ,” kata Mahmood.

Di bawah peraturan JPJ, kadar minimum VLT yang dibenarkan ialah 70% untuk cermin hadapan, 50% untuk cermin sisi hadapan serta tiada had peratusan untuk cermin sisi belakang dan cermin belakang.

Mahmood menjelaskan bahawa kebanyakan kenderaan hari ini dilengkapi dengan kaca yang mempunyai tint semula jadi. Apabila filem tambahan ditampal, walaupun filem itu mematuhi peraturan JPJ secara individu, bacaan VLT mungkin gagal kerana pengiraan dilakukan berdasarkan jumlah VLT antara tint semulajadi kaca dan tint daripada filem tersebut.

Tiada istilah “patuh JPJ”, “tidak patuh Puspakom” bagi filem penapis haba kenderaan – CEO Puspakom

“Semua kaca automotif mempunyai kadar penembusan cahaya asas, walaupun tanpa filem ditampal. Contohnya, kaca automotif sudah pun menapis cahaya kerana tona kehijauan atau kebiruan semulajadinya,” katanya yang turut menambah kadar VLT yang dinyatakan pada pembungkusan filem tint biasanya mengandaikan filem tersebut ditampal pada kaca yang jernih sepenuhnya.

Puspakom juga menasihatkan orang awam supaya berhati-hati dengan ejen atau runner yang menggunakan maklumat tidak tepat untuk menekan pemilik kenderaan supaya menanggalkan tint mereka atau meminta bayaran tambahan atas alasan “membaiki” isu pemeriksaan.

“Kami menggesa semua pelanggan untuk melaporkan tingkah laku tidak beretika seperti ini dan mendapatkan penjelasan terus daripada sumber rasmi Puspakom. Proses pemeriksaan kami adalah telus, konsisten dan sepenuhnya berdasarkan peraturan JPJ,” tambah Mahmood.

The post Tiada istilah “patuh JPJ”, “tidak patuh Puspakom” bagi filem penapis haba kenderaan – CEO Puspakom appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts