Tesla memperkenalkan satu varian baru untuk Model 3 di pasaran China yang dikenali sebagai Long Range Rear-Wheel Drive (LR RWD). Menariknya, model ini juga dirujuk oleh media tempatan sebagai Model 3+, berdasarkan lencana yang dilihat dalam dokumen rasmi Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT).
Model 3+ dijual pada harga 269,500 yuan, bersamaan kira-kira RM159,000. Ini menjadikannya terletak di antara varian asas Rear-Wheel Drive (RWD) yang berharga 235,500 yuan (RM139,000) dan Long Range All-Wheel Drive (AWD) pada 285,500 yuan (RM168,000). Varian tertinggi, Performance All-Wheel Drive, kekal dengan harga 339,500 yuan (RM200,000) tetapi kini menawarkan jarak pemanduan lebih jauh, iaitu 647 km berbanding 623 km sebelum ini.
Tesla Model 3+ merupakan model dengan jarak pemanduan paling jauh pernah ditawarkan syarikat itu di China, dengan jarak sejauh 830 km mengikut standard ujian CLTC. Sebagai perbandingan, model RWD biasa mencatat jarak 634 km manakala varian LR AWD mencatat 753 km. Walaupun tidak disenaraikan secara rasmi di laman web Tesla, dokumen MIIT mendedahkan bahawa Model 3+ menggunakan bateri jenis nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti 78.4 kWh yang dibekalkan oleh LG.
Bateri ini merupakan unit yang sama digunakan pada model LR AWD dan jauh lebih baik daripada bateri lithium iron phosphate (LFP) 62.5 kWh yang digunakan pada varian asas RWD. Dari segi prestasi, Model 3+ mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 5.2 saat, lebih pantas berbanding RWD yang memerlukan 6.1 saat. Ini hasil penggunaan motor elektrik lebih berkuasa yang menghasilkan 306 PS (302 hp atau 225 kW), berbanding 264 PS (260 hp atau 194 kW) pada model RWD biasa.
Spesifikasi Model 3 LR RWD di China ini turut menyerupai versi yang telah pun diperkenalkan di Jerman sejak Oktober tahun lalu, yang juga menampilkan prestasi pecutan yang sama serta jarak pemanduan tertinggi dalam barisan model Eropah, iaitu 702 km berdasarkan piawaian WLTP yang lebih realistik.
The post Tesla Model 3+ dilancarkan di China – varian Long Range RWD baru dengan jarak gerak CLTC 830 km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.