Suzuki memperbaharui Satria di pasaran Indonesia dengan pengenalan model baru tahun ini. Ia ditawarkan dalam dua versi iaitu Satria Pro, dijual pada harga 34.9 juta Rupiah (RM8,734) dan Satria F150, dijual pada harga 31 juta Rupiah (RM7,758).
Perhatian tertumpu kepada Satria Pro, yang selain mempunyai bentuk lampu hadapan LED berbeza, juga dinaik taraf dengan beberapa kelengkapan termasuk Suzuki Clutch Assist System (SCAS). Adanya klac ini, cengkaman ketika memecut bertambah dan tukaran ke gear rendah bertambah lancar bersama fungsi slipper.
Kemudiannya, Satria Pro turut dilengkapkan dengan meter digital LCD berteknologi Suzuki Ride Connect, yang boleh disambung kepada telefon pintar dan memaparkan bukan sahaja informasi penting, tetapi juga arah navigasi, lokasi terakhir motosikal, peringatan waktu servis serta notifikasi lain.
Suzuki turut menambah baik ciri keselamatan dengan memberikan sistem brek ABS single-channel (depan) pada Satria Pro, manakala kemudahan tambahan yang disediakan adalah termasuk sistem tanpa kunci, soket pengecas USB serta Easy Start System.
Bahagian enjin tidak berubah dengan Satria Pro dan Satria F150 masih menggunakan unit satu silinder 147 cc DOHC penyejukan cecair, bersama padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan 18 hp pada 10,000 rpm dan tork 13.8 Nm pada 8,500 rpm.
Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk brek cakera hadapan dan belakang, rim 17 inci dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, tangki bahan api empat liter, fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang. Satria F150 mencatat berat 112 kg manakala Satria Pro lebih tiga kilogram lagi.
The post Suzuki Satria Pro, Satria F150 2025 dilancar di Indonesia – versi tinggi dapat meter moden, brek ABS appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

























