Yang pertama seumpamanya di Malaysia, Surau Madani yang terletak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan), di KM274.6 Lebuhraya Utara-Selatan hari ini mengadakan solat Jumaat yang pertama di premis berkenaan. Ini adalah susulan pengistiharannya sebagai surau R&R pertama di lebuhraya di Malaysia yang mendapat kelulusan untuk mendirikan solat Jumaat, minggu ini.
Penyediaan kemudahan untuk mendirikan solat Jumaat ini merupakan usaha dan kolaborasi semua pihak daripada Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Lembaga Lebuhraya Malaysia serta semua pihak berkepentingan yang telah terlibat dalam membantu penyediaan inisiatif ini.
Surau Madani di R&R Seremban (Arah Selatan) tersebut mampu menampung sehingga 150 jemaah dalam satu masa. Ia direka bentuk dengan menitikberatkan suasana yang selesa, nyaman dan mesra pengguna, terutama bagi warga emas dan golongan berkeperluan khas, bagi memastikan semua pengguna lebuhraya mendapat pengalaman beribadah yang lebih baik sepanjang perjalanan mereka.
Surau tersebut juga telah menjalani proses naik taraf yang meliputi pemasangan mimbar, mihrab, sistem pembesar suara dan penubuhan Jawatankuasa Kariah Penaja Surau Madani R&R Seremban (Arah Selatan). Jawatankuasa ini dianggotai oleh 93 pemastautin tetap yang terdiri daripada rakan-rakan niaga serta para pekerja di kawasan R&R Seremban.
“Objektif utama inisiatif pelaksanaan solat Jumaat di R&R Seremban ini adalah untuk menyediakan kemudahan beribadah kepada komuniti pemaustatin yang bekerja di R&R serta penduduk sekitar Labu dan Seremban. Ia juga dapat memudahkan pengguna lebuhraya yang singgah untuk menunaikan solat Jumaat di surau R&R ini,” jelas Datuk Nik Airina Nik Jaffar, Pengarah Urusan PLUS sebelum ini.
Kepada pengguna Lebuhraya PLUS arah selatan juga kini mempunyai pilihan yang memudahkan mereka untuk menunaikan solat Jumaat tanpa perlu menyusur keluar dari lebuh raya untuk mencari masjid berdekatan.
The post Surau Madani di PLUS R&R Seremban arah selatan mula jalankan solat Jumaat, mudahkan pengguna appeared first on Paul Tan’s Automotive News.