Kerajaan kini menanggung subsidi petrol dan diesel yang meningkat sehingga RM3.2 bilion sebulan dalam usaha kerajaan memastikan rakyat terus menerima manfaat berikutan peningkatan bahan api global akibat konflik di Asia Barat, kata Menteri Kewangan II (MOF), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Menurut beliau, subsidi kerajaan bagi petrol menerusi inisiatif Budi95 meningkat kepada RM2 bilion berbanding RM700 juta sebelum ini, manakala subsidi diesel naik kepada RM1.2 bilion sebulan, laporan Bernama.

“Walaupun Kerajaan Madani menangani implikasi kenaikan harga minyak global, kerajaan akan terus mengambil penekanan untuk memastikan rakyat disokong dan kita dapat mengekalkan pemberian inisiatif Budi95. Beban ini masih boleh ditampung kerajaan kerana kita sudah melaksanakan banyak reformasi dan konsolidasi fiskal dalam tiga tahun kerajaan Madani memerintah,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat khas Jemaah Menteri hari ini.

Ketika ditanya sama ada kemungkinan berlaku kekurangan bekalan bahan api akibat permintaan tinggi menjelang sambutan Aidilfitri dan cuti persekolahan minggu depan, Amir Hamzah berkata, gangguan bekalan tidak mungkin berlaku.

“Seperti mungkin semua orang sedia maklum, arahan daripada Kabinet ialah saya untuk mempengerusikan jawatankuasa silang kementerian. Di bawah pengawasan KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), mereka pantau stok bekalan (bahan api) yang ada di stesen minyak dan juga stok yang ada di syarikat minyak dan menjadi kebiasaan setiap kali perayaan mereka akan pastikan ada cukup bekalan minyak,” katanya

The post Subsidi kerajaan untuk petrol dan diesel meningkat hingga RM3.2b sebulan demi manfaat rakyat-MOF appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts