Subaru Forester generasi ke-enam telah dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan bagi Kereta Tahunan Jepun (JCOTY) 2025-2026 selepas menerima sejumlah 1,149 mata dari panel juri. SUV berkenaan berjaya menewaskan pencabar terdekatnya iaitu Honda Prelude yang berada di tangga kedua dengan 1,076 mata dan Toyota Crown Estate di kedudukan ketiga menerima 654 mata.
Forester baharu ini telah pun dilancarkan di Malaysia pada hujung Oktober lalu, dan kita hanya menerima penjana kuasa naturally-aspirated sahaja. Di Jepun, Forester turut ditawarkan dengan enjin hibrid.
Model lain yang turut berada dalam senarai 10 teratas termasuklah Nissan Leaf generasi ketiga (622 mata), Volkswagen ID.Buzz (578 mata), Hyundai Inster (477 mata), BMW 2 Series Gran Coupe generasi kedua (416 mata), Peugeot 3008 generasi ketiga (393 mata), Suzuki eVitara (357 mata) dan Daihatsu Move generasi ketujuh (338 mata).
Walaupun ID.Buzz terlepas daripada memenangi anugerah utama, van elektrik itu berjaya meraih dua anugerah tersendiri, termasuk Kereta Import Jepun Terbaik dan Kereta Rekaan Terbaik Tahun Ini. Bagi anugerah yang terakhir itu, antara finalisnya ialah 3008, Prelude, Inster, Cadillac Lyriq, Leaf, BYD Sealion 7, Crown Estate, Alfa Romeo Junior dan e Vitara.
Satu lagi pemenang dalam edisi ke-46 penganjuran anugerah tersebut ialah Porsche 911 GTS generasi 992.2, dengan sistem T-Hybrid pada kereta itu mengagumkan para juri kerana keupayaannya meningkatkan prestasi melalui elektrifikasi tanpa menjejaskan daya tarikan pemanduan. 911 GTS menewaskan Leaf, Prelude, Forester, Lyriq, Audi A6 e-tron, Honda N-One e:, Sealion 7, Mercedes-AMG GT dan eVitara untuk merebut anugerah tersebut.
The post Subaru Forester menangi Kereta Tahunan Jepun 2025-2026 – tewaskan Honda Prelude, Toyota Crown Estate appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















