Subaru Crosstrek 2026 telah pun dipertontonkan secara mengejut di Malaysia, dengan penawaran varian 2.0i EyeSight. Model ini akan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun dan dijangka berharga di bawah RM190k apabila ia dilancarkan secara rasmi pada bulan Mei tahun ini.
Sebelum ini dikenali sebagai XV, dan sebagai pengganti kepada model generasi terdahulu versi facelift yang dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada Disember 2021, model ini pada asasnya masih merupakan hatchback Impreza yang ditinggikan, dengan elemen gaya SUV seperti pelindung plastik hitam pada gerbang roda dan bampar.
Buat masa ini, maklumat rasmi bagi spesifikasi versi Malaysia masih tidak didedahkan sepenuhnya. Namun, berdasarkan penamaan variannya, 2.0i EyeSight, ia dijangka dilengkapi enjin boxer 2.0 liter empat-silinder tanpa pengecas turbo, dipadankan dengan sistem pacuan semua roda symmetrical (AWD) yang dicipta khas jenama ini, serta pakej sistem bantuan pemanduan EyeSight.
Dibina dengan versi terkini Subaru Global Platform (SGP), SUV generasi ketiga ini dipertingkatkan dimensi panjangnya sebanyak 15 mm, menjadi 4,480 mm, namun 40 mm lebih rendah kepada 1,575 mm, manakala lebar 1,800 mm dan jarak roda 2,670 mm kekal tidak berubah, dan untuk jarak kelegaan tanah (ground clearance) pula sekitar 200 mm.

Rangkaian kuasanya dijangka merupakan kesinambungan daripada unit suntikan terus FB20D yang digunakan pada model facelift generasi terdahulu, yang menghasilkan kuasa cecah 156 PS pada 6,000 rpm dan 196 Nm pada 4,000 rpm, memacu keempat-empat roda melalui transmisi Lineartronic CVT bersama sistem pacuan semua roda symmetrical yang dinyatakan di atas.
Model generasi ketiga yang menggantikan XV generasi kedua, menampilkan gaya rekaan yang diperbaharui pada bentuk yang masih dikenali, bermula dengan jalur krom pada gril yang bersambung dengan lampu DRL LED pada setiap lampu hadapan. Gril heksagon kelihatan lebih garang berbanding model terdahulu, dan elemen gaya berbentuk-C diterapkan di seluruh rekaan, seperti pada bucu bampar, lampu nyalaan siang (DRL), serta elemen lampu belakang.
Di bahagian atas, rel bumbung pada Crosstrek kini lebih berbentuk segi berbanding pada XV generasi kedua, manakala set roda bagi unit yang dipaparkan ini menggunakan tayar bersaiz 225/55R18 yang membaluti rim 18-inci dengan rekaan turbin dwi-warna seperti yang dilihat pada unit yang dipamerkan menerusi acara GIIAS 2024 di Indonesia dan versi mild-hybrid di Jepun.
Reka bentuk papan pemuka Crosstrek pula diinspirasi daripada model WRX/Levorg untuk sebahagian besar susun aturnya. Sepasang meter analog mengapit paparan pelbagai maklumat di tengah, manakala unit infotainmen tengah berorientasikan menegak, dengan corong penyaman udara menegak di kedua-dua sisinya. Oleh itu, paparan kecil yang terletak di atas unit infotainmen utama pada XV generasi kedua kini tidak lagi ditampilkan.
Ciri ketersambungan dalam Crosstrek merangkumi input audio tambahan 3.5 mm, bersama port USB-C 3.0 A dan USB-A 2.4 A, serta pad pengecasan peranti tanpa wayar Qi, selain soket kuasa 12 voltan untuk penumpang hadapan. Penumpang barisan kedua pula mendapat port USB-C 3.0 A dan USB-A 2.4 A. Untuk sambungan telefon pintar, Android Auto dan Apple CarPlay dijangka akan diberikan.
Tempat duduk belakang boleh dilipat dalam nisbah 60:40, dengan cagak kerusi kanak-kanak ISOFIX terletak pada bahagian luar tempat duduk belakang. Di bawah lantai ruang but terdapat tayar simpanan sementara jenis “space saver” bersaiz 185/65R17.
Seperti yang ditunjukkan oleh nama variannya, Crosstrek dilengkapi dengan pakej sistem bantuan pemanduan EyeSight, termasuk brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, AEB serta pemantau perhatian pemandu berasaskan kamera.
Subaru Crosstrek 2026 dijangka mula dijual di Malaysia pada bulan Mei tahun ini, dengan harga di bawah paras RM190k. Model ini akan diimport sepenuhnya (CBU), selaras dengan hala tuju jenama tersebut ke arah barisan produk CBU dari Jepun sepenuhnya untuk pasaran Malaysia bermula 2025.
The post Subaru Crosstrek 2.0 i-S EyeSight 2026 dipertontonkan di Malaysia – CBU dari Jepun, harga bawah RM190k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





















































































