Kerajaan telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Skuadron Rapid Rail 50 Rejimen Pakar Keretapi Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Askar Wataniah (AW) yang bertujuan untuk membantu melindungi rangkaian rel bandar kita.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata skuadron tersebut merupakan satu inisiatif strategik baharu yang mengintegrasikan kepakaran pertahanan dengan sistem rel bandar. Ia juga menjadi tanda komitmen kerajaan dalam memperkukuh perlindungan infrastruktur kritikal negara.
“Penubuhan skuadron ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Mertahanan dalam memastikan kebolehoperasian dan keselamatan infrastruktur pengangkutan awam strategik sentiasa berada pada tahap optimum, bukan sahaja ketika aman, malah ketika berdepan situasi krisis atau ancaman keselamatan,” kata Khaled hari ini semasa pelancaran skuadron tersebut, seperti dilaporkan Astro Awani.

“Sistem rel bandar termasuk LRT, MRT dan Monorel merupakan antara infrastruktur kritikal negara yang menyokong mobiliti harian rakyat serta ekonomi. Justeru, penubuhan skuadron ini menyumbang secara langsung kepada keselamatan negara dengan memastikan sistem rel sentiasa dilindungi dalam semua keadaan, termasuk bagi pengurusan krisis negara dan kelancaran operasi ketenteraan,” tambah beliau.
Skuadron tersebut dianggotai sepenuhnya oleh anggota Askar Wataniah yang mempunyai kepakaran profesional dalam bidang rel, kejuruteraan dan operasi pengangkutan. Ia tidak melibatkan pertambahan jawatan tetap baharu, sebaliknya memanfaatkan kepakaran sedia ada sebagai nilai tambah strategik kepada pertahanan negara, kata menteri itu. Skuadron berkenaan terdiri daripada 33 pegawai dan 191 anggota Askar Wataniah.
“Dalam situasi kecemasan atau krisis, skuadron ini akan digerakkan untuk membantu pemulihan operasi rel, sokongan kejuruteraan, pengurusan di lokasi kejadian serta penyelarasan dengan agensi keselamatan dan pengendali rel,” jelasnya lagi.

Pada Disember lalu, Prasarana menyatakan bahawa kecurian kabel telah mengganggu operasi rel Rapid KL, sekali gus memberi kesan langsung kepada jutaan penumpang di Lembah Klang. Ini adalah tambahan kepada kerugian berjumlah RM20.6 juta dalam tempoh tiga tahun yang lalu. Selain kelewatan, isu keselamatan juga turut menjadi kebimbangan.
Pengendali pengangkutan awam Rapid itu berkata tahun lalu menyaksikan peningkatan sebanyak 68% dalam kes kecurian kabel. Trend ini didorong oleh permintaan dan harga pasaran kabel, khususnya tembaga di dalamnya, yang ‘memberikan hasil lumayan’ kepada sindiket. Diharapkan skuadron baharu Askar Wataniah ini dapat menjadi langkah pencegahan yang berkesan.
The post Skuadron Rapid Rail RAJD Askar Wataniah ditubuh untuk kawal landasan LRT, MRT dari kecurian kabel appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















