Selepas ujian perintis Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) berjaya dilaksanakan di Terminal 1 (T1) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ia kini sedang dijalankan di Terminal 2 (T2) pula, laporan Bernama.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata tempoh percubaan yang dijadual hingga 30 Mac 2026 itu, membabitkan bahagian mengambil dan menurunkan penumpang, serta memperkenalkan kemasukan dan keluar kenderaan secara berjadual melalui palang automatik bagi mengurus aliran trafik dengan lebih baik.
Sepanjang tempoh percubaan di T2, MAHB memaklumkan tiada penalti akan dikenakan kerana fokus utama adalah memantau corak trafik dan tingkah laku pemandu sebelum sistem dilaksanakan sepenuhnya. Secara purata, kira-kira 16,000 pergerakan kenderaan di T2 setiap hari, dan sepanjang tempoh percubaan itu akan dapat membantu menentukan penyesuaian operasi yang optimum sebelum sistem dilaksanakan sepenuhnya.
“Selepas tempoh percubaan tamat, caj yang dikenakan akan dilaksanakan ke atas kenderaan yang berhenti di tepi jalan melebihi masa dibenarkan,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini MAHB dilaporkan berkata, percubaan sistem yang terdahulu di T1 didapati berkesan mengubah tingkah laku pemandu, dengan pengurangan jumlah kenderaan yang melebihi had 10 minit di kawasan menurunkan dan mengambil penumpang, daripada 50% kepada 21%.
Di bawah sistem ini, tempoh ihsan secara percuma dibenarkan dalam 10 minit sebaik sahaja kenderaan terbabit masuk untuk menghantar atau mengambil penumpang. Manakala caj penalti antara RM10 hingga RM100 akan dikenakan jika melebihi masa tersebut. Pembayaran boleh dibuat menggunakan Touch ‘n Go, kad kredit atau MyDebit.
The post Sistem Pengurusan Akses Kenderaan kini diuji di Terminal 2 KLIA hingga 30 Mac ini – MAHB appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















