Sistem mata demerit lesen memandu Kejara disahkan akan menerima rombakan besar, dan sistem yang diperbaharui itu akan siap pada separuh pertama tahun depan, manakala penguatkuasaan dijadualkan untuk dilaksanakan pada separuh kedua 2026, kata menteri pengangkutan Anthony Loke, laporan The Sun.
“Dahulu, jika orang tidak membayar saman, mata demerit tidak pernah direkodkan. Itu menafikan tujuan asalnya. Ia sebenarnya membuatkan orang tidak mahu membayar saman. Akhirnya, pemandu bermasalah masih bebas tanpa dikenakan tindakan,” kata Loke kepada akhbar tersebut.
Bagi memastikan pematuhan, sistem Kejara yang diperbaharui akan diintegrasikan sepenuhnya dengan platform MySikap, dan dihubungkan secara langsung dengan pembaharuan lesen memandu serta cukai jalan, menurut laporan itu. “Mereka yang gagal membayar dalam tempoh tertentu akan disenaraihitamkan. Mereka tidak akan dapat memperbaharui lesen atau cukai jalan. Hanya dengan itu sistem demerit akan berfungsi,” kata Loke.
Sistem mata demerit Kejara juga akan diintegrasikan ke dalam aplikasi mudah alih MyJPJ, yang akan membolehkan pengguna jalan raya menyemak mata demerit mereka dan menerima amaran apabila mereka berada pada tahap berisiko digantung lesen.

Tambah Loke, antara kejayaan terbesar ialah kerajaan berjaya mendapatkan persetujuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyeragamkan kadar kompaun trafik, sesuatu yang pertama kali berlaku dalam sejarah penguatkuasaan di Malaysia, menurut laporan tersebut.
Mulai 1 Januari 2026, kadar saman trafik akan diseragamkan antara semua agensi. Di mana tiada lagi kempen diskaun berkala, dan pembayaran awal saman akan diberi ganjaran, manakala pembayaran lewat akan dikenakan amaun penuh.
“Belum pernah kita mempunyai sistem kompaun bersepadu. PDRM sebelum ini mempunyai kadar dan diskaun mereka sendiri. Pembaharuan ini sudah lama tertangguh. Tanpa keseragaman, penguatkuasaan menjadi tidak berkesan,” kata Loke.
Satu garis masa yang diperketatkan telah dikenakan ke atas Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pelaksanaan naik taraf sistem, pelantikan vendor dan backend integration, menurut laporan itu. “Ini isu penting. Kita tidak boleh mengambil masa terlalu lama. Proses dalaman sedang dipercepatkan supaya sistem Kejara yang diperbaharui dapat disiapkan pada separuh pertama tahun depan dan dilaksanakan secara berperingkat selepas itu,” kata Loke lagi.

Berhubung kritikan terhadap diskaun saman 50%, Loke menyatakan bahawa ia adalah langkah praktikal untuk menyelesaikan tunggakan kompaun bertahun-tahun sebelum usaha penguatkuasaan baharu bermula. “Ini adalah tempoh pengampunan. Kami tidak menggalakkan pelanggaran peraturan. Saya sudah beri amaran, apabila masuk bulan Januari, jika masih ada saman tertunggak, anda akan disenaraihitamkan,” kata Loke.
Walau bagaimana pun, Loke bersetuju dengan kritikan terhadap sistem Kejara yang dianggap tidak berkesan, dan beliau percaya bahawa sistem mata demerit yang distruktur semula itu akhirnya akan mencegah pesalah berulang dan mengeluarkan pemandu berbahaya dari jalan raya. “Kita sedang membinanya semula dari asas. Menjelang tahun depan, rakyat Malaysia akan melihat landskap penguatkuasaan yang sangat berbeza,” katanya.
Julai lalu, rombakan sistem mata demerit Kejara disahkan oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berada pada peringkat semakan akhir, dan beliau menyatakan bahawa perubahan tersebut akan mengambil masa untuk dilaksanakan kerana ia melibatkan penyelesaian aspek undang-undang dan pindaan yang diperlukan.
The post Sistem Kejara akan diperbaharui – integrasi dengan MyJPJ, senarai hitam dikuatkuasa mulai Jan 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















