Selangor Royal Office mengumumkan bahawa sempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-80 DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada bulan Disember 2025 dan sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun Pemerintahan Baginda pada tahun 2026, Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) dengan tanda indeks “SIS” akan ditawarkan kepada orang awam.

“SIS” yang bermaksud “SULTAN IDRIS SHAH”, akan dibuka bidaan dalam talian menerusi JPJeBid bermula Jumaat ini, 15 Ogos dan ia berlangsung hingga jam 10 malam pada 19 Ogos 2025. Manakala keputusannya akan dikeluarkan keesokan harinya, 20 Ogos 2025.

Menerusi perkongsian dalam Facebook rasminya, Selangor Royal Office turut berkata kaedah penawaran secara bidaan ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada melalui sistem JPJeBid. Ini termasuklah harga bidaan adalah mengikut harga minima yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Selain itu, mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.

Siri SIS dibuka bidaan 15-19 Ogos menerusi JPJeBid; Sempena ulangtahun keputeraan Sultan Selangor

Menurutnya lagi, sebahagian daripada hasil jualan NPI ini akan disalurkan ke sebuah yayasan di bawah naungan DYMM Sultan Selangor yang akan digunakan untuk tujuan aktiviti kebajikan termasuk biasiswa dan dana kecemasan bagi membantu mereka yang memerlukan seperti tragedi bencana alam. Yayasan itu kelak akan dipengerusikan oleh Ahli Dewan Diraja Selangor yang juga mantan Gabenor Bank Negara, YAD Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Ibrahim dan akan diuruskan tertakluk kepada prosedur dan tadbir urus yang telus.

Pada 8 Ogos lalu, DYMM Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang diiiringi Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam bagi membincangkan mengenai bidaan “SIS” ini.

The post Siri SIS dibuka bidaan 15-19 Ogos menerusi JPJeBid; Sempena ulangtahun keputeraan Sultan Selangor appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts