Syarikat teknologi gergasi dari China, Baidu, dilaporkan sedang merancang untuk melancarkan perkhidmatan teksi tanpa pemandu Apollo Go di Malaysia dan Singapura selewat-lewatnya pada penghujung tahun 2025. Sumber yang rapat dengan perkara ini memberitahu The Independent Singapura bahawa Baidu kini sedang berbincang dengan pengendali teksi tempatan dan penyedia perkhidmatan mobiliti bagi merangka model perniagaan yang sesuai untuk kedua-dua negara.

Baidu dilihat menerapkan strategi “asset-light” yang menekankan kerjasama strategik berbanding memiliki kenderaan sendiri secara langsung. Sejak diperkenalkan di China pada tahun 2019, perkhidmatan Apollo Go telah mencatatkan lebih 11 juta perjalanan menggunakan lebih 1,000 kenderaan autonomous — mengatasi pencapaian Waymo milik Google yang mencatatkan 10 juta perjalanan.

Selain Malaysia dan Singapura, Baidu turut melihat potensi untuk memperluaskan perkhidmatan Apollo Go ke Eropah dan Timur Tengah. Di Switzerland, syarikat itu dilaporkan sedang menjalankan perbincangan dengan PostAuto, anak syarikat Swiss Post, manakala di Turki pula, perbincangan awal sedang berlangsung untuk meneroka kemasukan ke pasaran tersebut.

Servis teksi tanpa pemandu Apollo Go oleh Baidu akan dilancar di Malaysia dan Singapura hujung tahun 2025

Di Malaysia, ujian kenderaan autonomous setakat ini masih terhad kepada kawasan tertentu seperti Putrajaya, Cyberjaya dan Taman Teknologi Bukit Jalil sejak awal tahun 2020-an. Namun, perkembangan dalam sektor ini masih lagi perlahan. Tahun lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan pindaan undang-undang bagi menyokong pembangunan dan pendigitalan teknologi kenderaan autonomous.

“Kita perlu melihat ke hadapan sebab sekarang mungkin teknologi ini belum menembusi arus perdana. Tapi dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang, mungkin kebanyakan sistem pengangkutan awam kita tidak lagi memerlukan pemandu manusia. Ia boleh beroperasi secara autonomous. Buat masa ini, kebanyakan kenderaan masih memerlukan pemandu,” katanya pada September lalu.

Jika pelancaran Apollo Go benar-benar menjadi kenyataan tahun ini, perubahan dalam sektor pengangkutan awam mungkin akan berlaku lebih awal daripada yang dijangkakan. Walaupun era pemandu teksi yang enggan mengambil penumpang atau menetapkan tambang sesuka hati semakin jarang berlaku hari ini, kemunculan teknologi ini juga menimbulkan persoalan tentang masa depan dan kebajikan para pemandu teksi serta pemandu e-hailing tempatan.

The post Servis teksi tanpa pemandu Apollo Go oleh Baidu akan dilancar di Malaysia dan Singapura hujung tahun 2025 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts