Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan seorang kanak-kanak perempuan ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kenderaan di Tanah Putih, Gua Musang, Kelantan, petang semalam. Di mana mangsa yang berusia empat tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri oleh bapanya dalam kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia, laporan Berita Harian.

Sik Choon Foo berkata mangsa dikejarkan ke Hospital Gua Musang dan disahkan meninggal dunia serta proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dijalankan pakar patologi forensik. Berdasarkan siasatan awal, bapa mangsa dikatakan tertinggal anaknya dalam kereta terbabit selama tiga jam selepas mereka pulang bersarapan bersama.

“Doktor mengesahkan punca kematian disebabkan strok haba. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan laporan kematian mengejut kes ini masih dalam siasatan. Pihak polis menasihati orang awam tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat serta menggesa ibu bapa memastikan keselamatan anak mereka.

“Kita juga mengalu-alukan orang awam menyalurkan maklumat berkaitan kejadian ini kepada polis dengan tampil di mana-mana balai berhampiran selain menghubungi talian 09-9121222,” katanya.

Insiden seperti ini bukan pertama kali terjadi di negara kita, di mana laporan-laporan kejadian seperti ini sudahpun dipaparkan beberapa tahun kebelakangan ini. Ya, kita tidak berada di tempat ibu kanak-kanak berkenaan ketika insiden tersebut berlaku, dan tidak tahu apa yang sebenarnya dihadapi olehnya, tetapi untuk peringatan bersama, JANGAN SESEKALI TINGGALKAN ANAK ANDA DI DALAM KERETA TANPA PENGAWASAN WALAUPUN SEKEJAP.

Strok haba ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh, terutamanya di negara dengan iklim khatulistiwa seperti Malaysia. Pada 2015, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) telah menyiarkan video untuk menunjukkan betapa bahayanya serangan strok haba ini sekiranya anda terperangkap di dalam kereta.

Menerusi video berkenaan, pemain American Football dari pasukan Arizona Cardinal, Tyrann Mathieu duduk di dalam kereta yang diparkir di bawah terik matahari. Atlet profesional berkenaan hanya bertahan selama lapan minit di dalam kereta tersebut, setelah suhu di dalam kabin meningkat sehingga 48.9 darjah selsius.

Itu orang dewasa yang juga seorang atlet profesional, sekarang anda bayangkan pula bagaimana keadaan seorang kanak-kanak berhadapan situasi sebegitu dengan suhu di negara kita. Menurut pakar kecemasan paediatrik, badan kanak-kanak lebih cepat memanas berbanding orang dewasa, seterusnya lebih cepat diserang strok haba.

Dalam masa hanya 15 minit terperangkap dalam kereta yang panas, kanak-kanak berisiko untuk mengalami kerosakan pada otak atau buah pinggang yang boleh menyebabkan kematian. Apabila suhu badan kanak-kanak mencapai 40 darjah Celsius, organ dalaman mungkin berhenti berfungsi, manakala pada suhu 41.6 darjah Celsius, kanak-kanak berkenaan boleh meninggal dunia.

Untuk pengetahuan anda juga, perkara seperti ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di serata dunia. Susulan itu, beberapa pengeluar kenderaan telah menghasilkan sistem keselamatan untuk mengingatkan pemandu agar memeriksa semula bahagian belakang kereta sebelum meninggalkan kenderaan masing-masing, contohnya Rear Door Alert dari Nissan dan Rear Occupant Alert oleh Hyundai.

Jika kenderaan anda tidak dilengkapi sistem keselamatan seperti itu, mungkin anda boleh meletakkan barangan penting seperti beg tangan bawah tempat duduk belakang atau melekatkan nota peringatan “Jangan lupa anak ada di belakang” di stereng. Mungkin cara ini dapat membantu mengurangkan risiko terlupa dengan kehadiran si cilik ini di tempat duduk belakang.

Juga sebagai masyarakat yang prihatin, jika anda terlihat kanak-kanak yang ditinggalkan di dalam kereta tanpa ditemani orang dewasa, TOLONG hubungi pihak berkuasa seperti polis secepat mungkin, bimbang perkara yang tidak diingini seperti kes ini berulang lagi.

The post Seorang kanak-kanak perempuan maut akibat strok haba selepas terkurung dalam kereta di Gua Musang appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts