Bermula 1 Ogos 2025, sistem kutipan bayaran parkir kenderaan di kawasan bawah empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor akan dikendalikan oleh Rantaian Mesra Sdn Bhd sebagai syarikat konsesi baharu yang dilantik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor, laporan Berita Harian.
Menurut EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim, empat PBT terbabit fasa pertama pelaksanaan itu ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Ng berkata, pembaharuan itu bertujuan meningkatkan hasil kutipan caj parkir kenderaan yang kini hanya mampu mencapai sekitar 30% daripada 1,000 petak. Di mana syarikat konsesi berkenaan akan mengambil alih tugas mengutip serta penguatkuasaan bayaran parkir dengan dipantau ketat oleh PBT dan kerajaan negeri.
“Kita menyasarkan hasil kutipan bayaran parkir bakal meningkat lebih 60%, selain dapat menyelesaikan masalah di kawasan sibuk, seperti ‘double parking’,” katanya yang turut mengesahkan syarikat terbabit akan memperoleh 50% hasil kutipan, manakala 40% untuk PBT dan MBI Selangor pula 10%.
Bagimana pun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan itu menafikan dakwaan bahawa pelantikan syarikat itu tanpa melalui tender dan mempunyai elemen rundingan terus, sekali gus menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas.
“Kerajaan Selangor menerusi MBI mengeluarkan Request for Proposal dan terdapat 26 syarikat yang berminat dalam sektor industri parkir ini sebelum tiga syarikat terpilih untuk disenarai pendek. Syarikat terpilih dikenakan syarat meningkatkan hasil kutipan dalam tempoh tertentu. Malah tindakan pembatalan kontrak boleh dilakukan pada bila-bila masa walaupun kontrak 10 tahun diberikan kepada syarikat konsesi berkenaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bayaran parkir tidak akan meningkat susulan pembaharuan itu, beliau berkata, caj di Selangor adalah berpatutan pada kadar 40 hingga 60 sen sejam.
The post Selangor lantik syarikat konsesi kendali sistem kutipan parkir untuk MBPJ, MBSJ, MBSA, MPS mulai 1 Ogos appeared first on Paul Tan’s Automotive News.