Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libat Urus WCE Holdings Bhd, Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid mengesahkan jajaran Seksyen 4 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di persimpangan Lebuhraya Persekutuan akan dibuka sebelum Aidilfitri ini. Pembukaan laluan baharu itu dijangka disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 18 Mac ini, katanya, menurut laporan Berita Harian.
Beliau menambah satu pusingan U sementara akan dibuka di sepanjang laluan Seksyen 4 berkenaan yang membolehkan pengguna jalan raya dari arah Lebuhraya Persekutuan untuk kembali ke arah asal yang dapat mengurangkan kesesakan aliran trafik di sekitar Klang, Shah Alam, Subang serta Petaling Jaya.
“Minggu depan, WCE akan membuka satu jajaran panjang Seksyen 4 membolehkan pengguna dari Klang, Shah Alam dan Petaling Jaya terus menggunakan WCE untuk ke utara. Jajaran ini membabitkan satu pusingan U yang mana pengguna yang mahu ke utara boleh terus menggunakannya tanpa masuk melalui Setia Alam,” katanya.
Jelasnya lagi, Seksyen 4 sepanjang 4.5 kilometer itu berfungsi sebagai ‘missing link’ strategik yang melengkapkan sambungan antara rangkaian lebuh raya utama di kawasan ini.

“Jajaran ini menghubungkan Persimpangan Bertingkat NKVE/FHR2 ke Persimpangan Bertingkat NNKSB 1, sekali gus menyediakan akses yang lebih lancar antara Lebuhraya Persekutuan dan WCE. Pembukaan jajaran ini membantu mengurangkan kesesakan trafik di jalan-jalan tempatan sekitar Klang dan Shah Alam, khususnya pada waktu puncak.
“Malah dengan pembukaan Seksyen 4, masa perjalanan dari Meru/Kapar ke Lebuhraya Persekutuan kini dapat dipendekkan daripada lebih 20 minit kepada kurang daripada 10 minit, terutamanya pada waktu puncak,” katanya yang menambah apabila siap kelak, kemudahan pusingan U sementara itu akan ditutup.
Lebuhraya WCE merupakan lebuhraya antara bandar yang menghubungkan Changkat Jering di Perak ke Banting, Selangor sepanjang 314.5 km dengan melalui destinasi utama seperti Beruas, Sri Manjung, Sitiawan, Teluk Intan, Bagan Datuk, Hutan Melintang, Sabak Bernam, Tanjong Karang, Kuala Selangor, Klang, Shah Alam dan Banting.
Ia merangkumi 11 seksyen iaitu tujuh seksyen di Selangor dan empat seksyen di Perak. Selain Seksyen 11, lima lagi seksyen WCE telah dibuka iaitu Seksyen 5 (Klang-Kapar) dan Seksyen 6 (Kapar – Assam Jawa) di Selangor serta Seksyen 8 ( Hutan Melintang-Telok Intan), Seksyen 9 (Kampung Lekir -Changkat Chermin) dan Seksyen 10 (Changkat Chermin-Beruas) di Perak. Secara purata trafik harian mencecah 70,000 kenderaan yang melalui lima seksyen berkenaan.
The post Seksyen 4 di Lebuhraya WCE dibuka sebelum Aidilfitri – jajaran 4.5 km itu bakal dirasmikan pada 18 Mac ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















