Pengguna yang terpaksa membayar harga RM2.60 seliter bagi petrol RON 95 disebabkan gangguan teknikal dalam sistem boleh memohon bayaran balik bagi perbezaan harga bermula 9 Oktober 2025. Perkara ini disahkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh, seperti dilaporkan oleh The Star.

Menurut beliau, walaupun terdapat aduan berkaitan gangguan sistem sejak pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON 95 (Budi95) bermula 30 September lalu, kebanyakan isu telah ditangani dengan cepat. Namun begitu, sekiranya pengguna telah dikenakan harga petrol tanpa subsidi disebabkan masalah tersebut, mereka layak untuk membuat tuntutan bayaran balik dengan mengemukakan bukti pembelian.

Tuntutan boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web mysubsidi.kpdn.gov.my bagi transaksi pembelian petrol tanpa subsidi yang berlaku antara 30 September hingga 31 Oktober 2025. Pemohon perlu memuat naik resit sebagai bukti pembelian untuk menyokong tuntutan mereka.

Bagi pihak perniagaan, syarat tambahan dikenakan iaitu syarikat perlu berdaftar di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan membuktikan bahawa permohonan untuk mendapatkan kad fleet telah dibuat selewat-lewatnya pada 31 Oktober. Setelah tuntutan disahkan dan diluluskan oleh pihak KPDN, bayaran balik akan dimasukkan ke dalam akaun bank pemohon dalam tempoh 15 hari bekerja.

Salah bayar harga petrol RON 95 subsidi kerana isu teknikal? Buat tuntutan semula di laman KPDN
Salah bayar harga petrol RON 95 subsidi kerana isu teknikal? Buat tuntutan semula di laman KPDN

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan SKPS di talian 03-8882 5893, 5894, 5923 atau 6667. Alternatifnya, mereka juga boleh menghantar emel ke alamat [email protected]
.
Dr Fuziah turut mendedahkan bahawa setakat ini hanya kira-kira 25 peratus perniagaan yang mengendalikan kenderaan layak telah mendaftar di bawah SKPS. Ini melibatkan sekitar 100,000 kenderaan di seluruh negara. Beliau mengakui sambutan masih rendah dan pihak kementerian kini sedang bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan berkaitan, termasuk persatuan teksi, untuk menggalakkan pendaftaran di bawah skim tersebut agar lebih ramai dapat menikmati manfaat subsidi petrol.

Menurut beliau lagi, mereka yang mendaftar lewat masih boleh menuntut semula subsidi bagi pembelian petrol yang dibuat selepas 1 Oktober, asalkan mereka dapat mengemukakan resit sebagai bukti pembelian. Justeru, beliau berharap lebih banyak pihak akan segera mendaftar bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang menikmati faedah yang ditawarkan melalui program subsidi ini.

Untuk mendaftar atau menyemak jenis kenderaan yang layak menerima subsidi, pengguna boleh terus melayari laman rasmi mysubsidi.kpdn.gov.my.

The post Salah bayar harga petrol RON 95 subsidi kerana isu teknikal? Buat tuntutan semula di laman KPDN appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts