Walaupun harga bahan api global melonjak, namun harga petrol RON 95 di Malaysia masih antara yang paling rendah di rantau ini serta lebih murah berbanding di Arab Saudi, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Berdasarkan harga runcit bahan api di Malaysia bagi tempoh 2 hingga 8 April 2026, satu ilustrasi oleh Jabatan Penerangan Malaysia menunjukkan bahawa petrol dan diesel di Malaysia masih lebih murah berbanding negara-negara ASEAN lain dan juga Arab Saudi, kecuali Brunei, di mana harga petrol adalah bersamaan RM1.67 seliter, dan diesel bersamaan RM0.98 seliter.
Dalam kalangan negara jiran lain, harga bahan api di Thailand disenaraikan pada kadar bersamaan RM6.48 seliter bagi petrol, dan RM4.95 seliter untuk diesel. Sementara itu, di Singapura, harga bahan api di republik berkenaan disenaraikan pada kadar bersamaan RM10.30 seliter bagi petrol, dan RM12.05 seliter untuk diesel.

Negara-negara lain yang disenaraikan dari segi harga bahan api termasuk Laos (petrol RM7.20, diesel RM7.65), Filipina (petrol RM6.43, diesel RM7.99), Myanmar (petrol RM6.35, diesel RM7.05), Kemboja (petrol RM6.26, diesel RM7.27), Vietnam (petrol RM2.96, diesel RM3.49), dan Indonesia (petrol RM2.96, diesel RM3.49).
Bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kuota awal 300 liter sebulan bagi petrol RON 95 di bawah program subsidi bahan api Budi Madani RON 95 dikurangkan sementara kepada 200 liter sebulan.
Sementara itu, bagi bahan api diesel, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan awal minggu ini bahawa bantuan tunai bulanan di bawah inisiatif Budi Madani Diesel akan dikekalkan pada RM300 bagi bulan April 2026.
The post RON95 di Malaysia lebih murah berbanding di Arab Saudi dan negara ASEAN lain, kecuali Brunei – KPDN appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















