Penulis ingat lagi ketika Toyota 86 ZN6 didedahkan kepada umum pada 2012, ‘komplen’ utama peminat-peminat ketika itu adalah “tak macam AE86 pun rupa dia”. Tambahan pula ketika itu ‘demam’ Initial D sedang memuncak, tetapi ‘AE86’ generasi baharu yang keluar tiada pilihan muka Sprinter Trueno yang datang dengan lampu hadapan jenis ‘pop-up’ di mana versi berkenaan digunakan oleh hero anime tersebut iaitu Fujiwara Takumi.
Akhirnya selepas 14 tahun (ya, ZN6 diperkenalkan 14 tahun dulu!), pembuat kit badan dari Osaka, Jepun iaitu Result Japan hadir dengan kit badan untuk Toyota 86 untuk kelihatan seperti AE86 Sprinter Trueno. Kit yang dikenali sebagai NEO86 ini sudahpun boleh ditempah, dan ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2026 hujung minggu lalu, sebuah demo car NEO86 ini telahpun dipertontonkan.
Kit badan ini diperbuat dari plastik diperkuat gentian (FRP). Fokus utamanya sudah tentu pada bahagian muka kerana ia hadir dengan lampu hadapan jenis ‘pop-up’, dan ia datang bersama set fender sisi dan juga penutup bonet hadapan bagi disesuaikan dengan lampu berkenaan.
Bampar hadapan dan belakang juga diberikan menerusi kit ini, di mana ia turut direka bersegi seperti AE86 sebenar yang lahir pada era 80’an, berbanding Toyota 86 ZN yang muncul 30 tahun selepas itu. Tidak cukup dengan itu, kit ini turut menawarkan spoiler ‘ekor itik’ untuk penutup but belakang dan juga set fender flare bagi menjadikan ia lebih lebar dan lebih seiras dengan AE86 sebenar.
Demo car yang dibawa dipamerkan di TAS 2026 ini turut menerima cat badan putih-hitam ‘Panda’ yang sama seperti AE86 ‘Kedai Tauhu Fujiwara’. Malah ia juga turut menerima set rim ‘pisang’ magnesium oleh pengeluar rim sama yang digunakan oleh Takumi iaitu RS Watanabe dari siri Type R, namun ia sudah tentu jauh lebih besar dan lebih lebar dengan saiz 18-inci, dibalut dengan tayar Nankang CR-S 225/40ZR18.
Selain Toyota 86, kit badan ini sudah tentu boleh dipadankan pada model-model kembarnya iaitu Subaru BRZ dan Scion FR-S. Difahamkan bukan semua bahagian kit ini boleh dipadankan terus secara plug & play kerana ada beberapa bahagian memerlukan sedikit kerja-kerja fabrikasi.
The post Result Japan NEO86 – kit badan lebar untuk Toyota 86/Subaru BRZ ZN6 inspirasi AE86 Sprinter Trueno appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


























