Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang (Pindaan) Sewa Beli 2025 yang menyaksikan pemansuhan penggunaan kadar rata (flat rate) dan kaedah pengiraan Rule of 78 dalam pinjaman sewa beli berkadar tetap. Langkah ini diumumkan bagi memastikan sistem pembiayaan yang lebih adil dan tidak membebankan pengguna – lapor Bernama.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali ketika menggulung perbahasan rang undang-undang tersebut berkata bahawa sistem kadar rata dan Rule of 78 selama ini dianggap tidak adil kepada peminjam, terutama bagi mereka yang ingin melangsaikan pinjaman lebih awal. Kaedah lama ini akan digantikan dengan kadar faedah efektif (Effective Interest Rate, EIR) dan kaedah baki berkurang (reducing balance), yang lebih telus serta memberi manfaat kepada pengguna.
Menurut laporan The Edge Malaysia, pindaan ini turut mewajibkan pemberi pinjaman untuk mendedahkan kadar faedah efektif kepada pengguna, bukan sahaja ketika promosi dibuat, tetapi juga sebelum sebarang perjanjian ditandatangani. Langkah ini bertujuan memberi gambaran yang lebih tepat kepada pengguna mengenai jumlah faedah sebenar yang perlu dibayar sepanjang tempoh pinjaman.
Armizan menjelaskan bahawa penggunaan kadar faedah efektif akan memastikan pengiraan ansuran bulanan yang lebih adil serta caj faedah yang tidak membebankan, terutama untuk peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal. Ini kerana, tidak seperti sistem lama yang mengenakan faedah tinggi pada peringkat awal pinjaman, kaedah baki berkurang hanya mengenakan faedah berdasarkan baki pinjaman semasa.
Tambah beliau, pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan ketelusan dalam pengurusan pinjaman sewa beli, malah membolehkan pengguna membuat perbandingan yang lebih tepat antara pelbagai pakej pinjaman yang ditawarkan. Ia juga membantu pengguna merancang kewangan mereka dengan lebih baik kerana kadar faedah efektif menunjukkan jumlah sebenar faedah yang perlu dibayar, serta membantu mengenal pasti kos tersembunyi seperti faedah kompaun yang boleh membawa kepada hutang yang semakin meningkat.
Selain pemansuhan kadar rata dan Rule of 78, pindaan ini turut membuka ruang untuk penggunaan teknologi moden dalam proses perjanjian dan kemas kini sewa beli. Turut dicadangkan ialah pindaan kepada Seksyen 6B, yang memperkenalkan kaedah baru bagi pengiraan caj sewa beli, termasuk tempoh masa untuk pemilik memberitahu penyewa mengenai sebarang perubahan dalam komitmen kewangan mereka selepas semakan semula kadar faedah efektif dilakukan.
Walaupun rang undang-undang ini telah diluluskan, ia tidak akan dikuatkuasakan serta-merta. Sebaliknya, satu tempoh peralihan selama 18 bulan telah ditetapkan untuk pelaksanaan penuh pindaan ini. Namun, beberapa ahli parlimen telah menyuarakan gesaan agar tempoh peralihan tersebut dipendekkan bagi mempercepatkan pelaksanaan.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mencadangkan agar tempoh peralihan dipendekkan kepada antara enam hingga 12 bulan sahaja, dengan alasan bahawa institusi kewangan pada masa ini sudah pun menggunakan sistem komputer sedia ada bagi pinjaman perumahan yang berasaskan kaedah baki berkurang.
The post Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2025 diluluskan – kadar faedah efektif ganti kadar rata appeared first on Paul Tan’s Automotive News.