Rapid Bus Sdn Bhd menyatakan bahawa lebih 1,300 secara purata pemandu kenderaan dikesan menceroboh lorong khas bas dan teksi di sekitar ibu kota serta Lembah Klang. Perkara ini dikesan menggunakan sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) menerusi projek rintis penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) kamera papan pemuka yang dipasang pada bas RapidKL.
Menurut Ketua Inisiatif dan Kerjasama Strategik Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), Zainurul Hakim, projek rintis ini bertujuan mengesan pencerobohan lorong bas dan teksi, sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam di kawasan bertrafik tinggi.
Katanya, kajian awal mendapati meskipun lorong bas dapat menjimatkan masa perjalanan, tahap pencerobohan yang tinggi menyebabkan kesesakan dan menjejaskan ketepatan jadual perkhidmatan.
Justeru, katanya, rakaman yang diperoleh bagi projek rintis selama enam bulan akan dinilai dari segi ketepatan, kejelasan imej siang dan malam serta keberkesanan pengesanan kesalahan dalam pelbagai keadaan cuaca.
“Rakaman ini kemudiannya akan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menilai kesesuaiannya sebagai bahan bukti di sisi undang-undang. Sepanjang tempoh percubaan, lebih 1,300 secara purata kes pencerobohan lorong bas dikesan, namun tiada tindakan penguatkuasaan diambil setakat ini kerana fokus utama adalah penilaian teknikal dan kesedaran awam.

“Projek rintis yang bermula Oktober lalu membabitkan tiga koridor iaitu Jalan Ampang, Jalan Genting Klang dan Jalan Klang Lama, dengan satu bas bagi setiap koridor. Tempoh percubaan selama enam bulan dijangka berakhir pada Mac ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Tambahnya, projek rintis yang dijalankan menerusi kerjasama strategik bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ bagi memperkukuh penguatkuasaan dan bukan bertujuan untuk menghukum, sebaliknya meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
“Selain penguatkuasaan, penambahbaikan infrastruktur turut dirancang termasuk pemasangan papan tanda berserta lampu amaran dan struktur ganti paparan iklan bagi meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalan raya mengenai lorong khas bas dan teksi,” katanya.
Katanya, pemasangan kamera papan pemuka dijangka akan diperluaskan kepada 50 buah bas lagi tahun ini, tertumpu kepada koridor lorong bas sedia ada.
“Selain itu, tiga lagi koridor atau jajaran baharu lorong khas bas dan teksi akan dilaksanakan dalam tempoh 2026-2027 membabitkan Jalan Gombak, Jalan Ipoh dan Jalan Cheras. Bagaimanapun, pelaksanaan penuh sistem ini bergantung kepada peruntukan kewangan serta pemuktamadan kerangka perundangan yang dijangka mengambil masa satu hingga dua tahun,” katanya.
The post Purata lebih 1,300 kenderaan dikesan ceroboh lorong khas bas dan teksi di sekitar ibu kota, Lembah Klang appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















