Walaupun diselubungi perkembangan berkaitan keselamatan dan penarafan ASEAN NCAP satu-bintang yang tidak menyebelahinya, Proton X90 MC tetap menunjukkan tarikan jualan yang baik bagi Mac 2026 dengan mencatatkan sebanyak 323 unit, walaupun baru saja dilancarkan pada 11 Mac lalu — tak cukup pun sebulan penuh untuk mencapai angka jualan tersebut.
Angka jualan tertinggi sebelum ini yang pernah dicapai oleh Proton X90 adalah pada Disember 2024 dengan 307 unit. Peningkatan ini tentulah dipengaruhi oleh harga jualannya yang telah berkurang sebanyak RM37,000, menjadi RM99,800 untuk varian Lite kini. Ini diikuti dengan RM109,800 untuk Prime dan RM115,800 untuk Prime X (semuanya dengan rebat pelancaran RM7,000).
Proton X90 MC kini dilengkapi enjin empat-silinder turbo BHE15-EFZ 1.5 liter i-GT moden — yang menggantikan enjin tiga-silinder mild-hybrid sebelum ini — yang menjana sebanyak 181 PS dan 290 Nm tork. Selain enjin empat-silinder yang lebih seimbang dan lebih lancar, Proton juga mendakwa kos penyelenggaraan yang lebih rendah dengan penggunaan timing chain dan penggunaan bahan api serendah 6.9 liter per 100 km.

Bagaimanapun, pengurangan harga itu juga bermakna ada kelengkapan yang digugurkan. Kini, tiada lagi sambungan 4G (jadi tiada sokongan aplikasi atau kawalan suara “Hi Proton”), bumbung panoramik, pengecasan tanpa wayar Qi atau pintu belakang berkuasa. Namun, Proton X90 MC ini menerima ciri Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar (yang bahkan masih tidak diberikan kepada X90 lama).
Lebih ketara ialah gugurnya keseluruhan set bantuan pemandu X90. Juga tiada lagi ciri pemanduan separa autonomi Tahap 2 seperti kawalan pelayaran adaptif dan bantuan ke tengah lorong, dan juga tiada AEB. Terlalu banyak pengurangan ciri keselamatan penting padanya sehingga ASEAN NCAP menurunkan penarafan lima-bintang yang diraih sebelumnya.
Apa pun, prestasi jualan X90 yang bertambah baik memberikan sumbangan kecil kepada jualan keseluruhan Proton yang mencatatkan sebanyak 15,706 unit kenderaan dijual bulan lalu, meningkat 2,140 unit daripada jualan Februari lalu. Ini membawa kepada angka suku pertama sebanyak 49,140 unit, yang merupakan angka jualan suku-tahunan terbaik untuk Proton sejak 2004.
Proton X90 MC 2026 Prime X
The post Proton X90 MC 2026 — 323 unit dijual pada Mac walau kurang sebulan, jualan tertinggi sejak lebih setahun appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



































































































































