Menerusi satu hantaran media sosial, Proton telah mengesahkan bahawa model kemaskini terbaharu untuk SUV segmen-C X70 akan dilancarkan pada hari Khamis ini iaitu pada 8 Januari 2026. Seperti yang telah dibayangkan oleh Proton sebelum ini, perubahan terbesar bagi versi kali ini adalah melibatkan penukaran enjin baharu.
Enjin yang dimaksudkan adalah enjin “i-GT” BHE15TD 1.5 liter empat-silinder turbo bagi menggantikan enjin GEP 3G15TD 1.5 liter tiga-silinder turbo pada model sedia ada. Enjin baharu ini sebelum ini sudahpun disumbatkan pada Proton X50 facelift yang telah dilancarkan pada Julai tahun lalu.
Unit rangkaian kuasa baharu ini menghasilkan kuasa 181 PS dan tork maksima 290 Nm, lebih berkuasa dari enjin sebelum ini yang hanya menghasilkan 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Seperti juga X50, enjin baharu ini dijangka masih akan digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan DCT yang sama. Kami jangkakan tiada perubahan rupa luaran dan dalaman yang besar akan ditampilkan pada model kemaskini kali ini.
Proton X70 mula diperkenalkan pada pasaran Malaysia pada Disember 2018, dijana oleh enjin 1.8 liter empat-silinder turbo yang dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik, serta hadir dalam versi diimport sepenuh (CBU) dari China.
Model pemasangan tempatan (CKD) mula diperkenalkan pada Februari 2020 dengan rupa yang sama, tetapi kotak gear 6AT telah digantikan dengan kotak gear 7DCT yang lebih pantas. X70 sekali lagi diberikan kemaskini menerusi model MC (Minor Change) 2022 di mana hanya varian tertinggi masih dibekalkan dengan enjin 1.8L turbo, sementara varian lain yang lebih rendah mula menerima enjin GEP 1.5 liter tiga-silinder turbo.
Kemudian model facelift dengan perubahan muka yang besar serta papan pemuka yang disegarkan semula diperkenalkan pada Ogos 2024, kali ini ia hanya hadir dengan pilihan enjin 1.5L tiga-silinder untuk semua varian.
The post Proton X70 MC3 2026 sah akan dilancarkan Khamis ini – enjin i-GT 1.5L Turbo empat-silinder, 181 PS/290 Nm appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



















