Proton X70 2026 sudah sah bakal dilancarkan esok, 8 Januari 2026. Sebelum ini Proton sudahpun mengesahkan bahawa ia bakal digerakkan enjin i-GT baharu, dan teaser terbaharu turut mendedahkan beberapa perincian lain yang akan diberikan kepada SUV segmen-C yang dikemaskini berkenaan.
Untuk rupa, hantaran teaser terbaharu dari Proton mendedahkan bahawa ia tampil dengan rupa yang sama seperti model sedia ada. Kapsyen pada hantaran tersebut turut memberitahu bahawa SUV ini juga menampilkan “pemanduan dan pengedalian yang lebih baik” – mungkin Proton sekali lagi merubah talaan suspensi model berkenaan.
Seperti yang telah kami beritahu tempoh hari, enjin baharu i-GT yang dimaksudkan adalah BHE15TD 1.5 liter empat-silinder turbo bagi menggantikan enjin GEP 3G15TD 1.5 liter tiga-silinder turbo pada model sedia ada. Enjin baharu ini sebelum ini sudahpun disumbatkan pada Proton X50 facelift yang telah dilancarkan pada Julai tahun lalu.
Unit rangkaian kuasa baharu ini menghasilkan kuasa 181 PS dan tork maksima 290 Nm, lebih berkuasa dari enjin sebelum ini yang hanya menghasilkan 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Seperti juga X50, enjin baharu ini dijangka masih akan digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan DCT yang sama. Kami jangkakan tiada perubahan rupa luaran dan dalaman yang besar akan ditampilkan pada model kemaskini kali ini.
Proton X70 mula diperkenalkan pada pasaran Malaysia pada Disember 2018, dijana oleh enjin 1.8 liter empat-silinder turbo yang dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik, serta hadir dalam versi diimport sepenuh (CBU) dari China.
Model pemasangan tempatan (CKD) mula diperkenalkan pada Februari 2020 dengan rupa yang sama, tetapi kotak gear 6AT telah digantikan dengan kotak gear 7DCT yang lebih pantas. X70 sekali lagi diberikan kemaskini menerusi model MC (Minor Change) 2022 di mana hanya varian tertinggi masih dibekalkan dengan enjin 1.8L turbo, sementara varian lain yang lebih rendah mula menerima enjin GEP 1.5 liter tiga-silinder turbo.
Kemudian model facelift dengan perubahan muka yang besar serta papan pemuka yang disegarkan semula diperkenalkan pada Ogos 2024, kali ini ia hanya hadir dengan pilihan enjin 1.5L tiga-silinder untuk semua varian. Muka baharu ini terus digunakan pada versi kemaskini yang bakal dilancarkan esok.
The post Proton X70 2026 – rupa masih nampak sama, enjin 1.5L empat silinder turbo, bakal dilancar esok appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



















