Proton hari ini secara rasmi mengumumkan bahawa operasi kilang pertamanya yang terletak di Hicom Shah Alam telah ditutup, dan 1,400 pekerja dari fasiliti berkenaan telah dipindahkan sepenuhnya di kilang utama mereka iaitu Proton Tanjong Malim yang terletak di Automotive High-Tech Valley (AHTV), Perak.
Kilang Proton Shah Alam berkenaan telah mula beroperasi pada tahun 1985 di mana unit pertama model pertama keluaran syarikat automotif nasional berkenaan iaitu Saga keluar dari barisan pemasangan fasiliti tersebut pada 9 Julai, sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada 1 September tahun yang sama oleh Perdana Menteri ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dengan keluasan 83.48 hektar dan pelaburan kira-kira RM370 juta, fasiliti ini turut menempatkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Proton yang merupakan pusat R&D automotif pertama dalam negara dan lengkap dengan kemudahan ujian menyeluruh serta trek ujian kelajuan separa tinggi. Sepanjang operasinya, kilang tersebut telah menghasilkan lebih daripada 4 juta kenderaan, termasuk model-model ikonik seperti Saga, Wira, Perdana dan Exora.
Menurut Proton dalam kenyataan dikeluarkan, unit terakhir yang dihasilkan oleh kilang tersebut masih sebuah Saga iaitu dari versi terkini MC2 pada 30 September 2025. Produksi Saga akan diteruskan di Tanjong Malim selepas ini bersama model-model lain Proton termasuk Persona, SUV-SUV siri X, sedan S70 dan juga model-model tenaga baharu (NEV) termasuk EV pertama Proton iaitu eMas 7. Hatchback segmen-B Proton Iriz tidak disebut dalam kenyataan yang dikeluarkan, dan ini mungkin pengesahan rasmi dari Proton bahawa produksi model tersebut juga telah dihentikan.
Proton turut telah mengadakan satu majlis sambutan khas bagi meraikan semua kakitangan dari Shah Alam yang mula bertugas di Tanjong Malim semalam, disempurnakan oleh Pemangku Timbalan CEO Proton Ainol Azmil, bersama barisan pengurusan tertinggi Proton.
“Hari ini merupakan satu detik bersejarah buat Proton apabila 1,400 rakan sekerja dari Shah Alam memulakan perjalanan baharu di Tanjong Malim. Dengan pengalaman dan dedikasi mereka selama ini, Proton kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya, menjadikan kilang ini sebagai hab utama untuk generasi baharu kenderaan Proton,” kata Ainol.
Dengan perpindahan ini, semua aktiviti pemasangan, pembuatan serta R&D syarikat tersebut kini telah disatukan di bawah satu bumbung di Proton Tanjong Malim. Bagi pengeluaran, kilang tersebut mempunyai lima seksyen utama iaitu Pemesinan Enjin dan Transmisi, Penekapan (Stamping), Pemasangan Badan (Body Assembly), Cat (Paint), serta Pemasangan Akhir (Trim & Final Assembly).
Proton turut menyatakan kilang tersebut dilengkapi dengan mesin tekan mekanikal terbesar di Malaysia, manakala barisan pemasangan enjin baharu di kilang itu merupakan satu-satunya fasiliti yang memasang enjin 1.5 TGDI Geely luar dari China.
“Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 250,000 unit setahun, Proton terus memperkukuh rantaian pembekal tempatan melalui perluasan penyetempatan komponen secara agresif. Pendekatan ini meletakkan kilang Tanjong Malim sebagai hab utama eksport pemanduan sebelah kanan (right-hand drive) bagi Kumpulan Geely di rantau Asia Tenggara, selain menjadi lokasi bagi kilang pemasangan Kenderaan Elektrik (EV) pertama di Malaysia,” kata Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
The post Proton umum kilang Shah Alam tutup, 1,400 pekerja sudah berpindah ke Tanjong Malim; tiada lagi Iriz appeared first on Paul Tan’s Automotive News.