Tahun lalu Geely Filipina telah mendedahkan rancangannya untuk 2026, yang menyaksikan Proton Saga MC3 turut akan dieksport ke pasaran berkenaan dan akan direbadge sebagai Geely. Manakala ketika pelancaran Proton eMas 7 PHEV yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini, Proton sendiri telah mengesahkan perkara tersebut.

“Dan juga pencapaian terbesar Proton sebagai jenama nasional bagi saya adalah apabila rakan strategik kami menggunakan kereta dengan IP kami sepenuhnya di pasaran luar mereka direbadge sebagai kereta Geely, Ini merupakan yang pertama dalam sejarah mana-mana kerjasama di Malaysia di mana Saga telah dipilih oleh Geely untuk direbadge sebagai kereta Geely untuk pasaran Filipina. Dan ia juga dibuat di Tanjong Malim,” kata pengerusi Proton Holdings Berhad Datuk Seri Syed Faisal Albar dalam ucapannya.

Filipina merupakan negara yang menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kiri (LHD). Dengan apa yang diumumkan oleh Syed Faisal ini juga telah mengesahkan bahawa walaupun Saga berkenaan dilekat dengan logo Geely, ia masih dipasang oleh Proton di Tanjong Malim dan kemudian dieksport ke sana. Sebelum ini Proton turut pernah memasang X50 dalam versi LHD dan dilekat dengan logo Geely Coolray untuk dieksport ke pasaran Vietnam.

Proton Saga MC3 baru sahaja dilancarkan di Malaysia pada November tahun lalu. Ia merupakan model pertama Proton yang menggunakan platform AMA iaitu platform yang diasaskan dari platform Saga terdahulu, tetapi diberikan kejuruteraan semula untuk menguatkan semula kerangka Saga ini dengan menambahbaik beberapa struktur. Antaranya Proton telah menerapkan logam dengan teknologi Hot Press Forming (HPF) pada tiang-B dan juga bahagian cross member pada lantai yang memegang cagak tempat duduk.

Proton sahkan Geely akan <em>rebadge</em> Saga MC3 untuk pasaran Filipina – LHD, masih dibuat di Tanjong Malim

Bukan hanya Saga, platform AMA yang bersifat modular ini turut akan melahirkan beberapa model lain yang direka sendiri oleh Proton, antaranya SUV dan juga MPV yang akan dijual pada harga lebih mampu milik. Walaupun model-model dengan platform AMA ini direka sendiri oleh Proton, namun ia bukanlah model yang dihasilkan hanya untuk pasaran Malaysia, sebaliknya disasarkan untuk pasaran global, kata Proton.

Ini juga bukan bermaksud bahawa model-model berkenaan hanya akan berada di pasaran-pasaran eksport Proton, malah akan direbadge oleh Geely adalah untuk memenuhi permintaan pasaran tertentu kerana ia tidak mempunyai model-model yang lebih kecil dari siri-X dan siri-S.

Untuk pasaran Filipina, Saga akan dilancarkan dengan logo Geely pada suku keempat tahun ini. Buat masa sekarang, ia belum diberi nama oleh Geely dan dirujuk hanya dengan kod AMA01, iaitu kod pembangunan bagi Proton Saga MC3 di Malaysia.

Dalam slaid pembentangan yang ditunjukkan Geely Filipina akhir tahun lalu, Saga MC3 disifatkan sebagai sebuah model yang menampilkan “penggayaan yang dinamik” dan juga “pengendalian yang stabil”, serta ia disasarkan untuk berhadapan terus dengan Toyota Vios serta Mitsubishi Mirage sedan generasi keempat atau dikenali sebagai Attrage di Malaysia satu ketika dahulu.

The post Proton sahkan Geely akan <em>rebadge</em> Saga MC3 untuk pasaran Filipina – LHD, masih dibuat di Tanjong Malim appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts