Walaupun menerima tempahan yang cukup banyak, Proton Saga MC3 nampaknya sekali lagi mencatatkan jualan bulanan yang tidak begitu tinggi – untuk Mac, Proton hanya menyerahkan sebanyak 5,438 unit Saga MC3 kepada pelanggan, kurang 609 unit berbanding jumlah 6,047 unit yang dicatatkan pada Februari lalu.
Malah jumlah jualan Mac 2026 ini juga adalah lebih rendah berbanding jumlah jualan Saga MC2 pada bulan Mac tahun lalu di mana ketika itu sebanyak 6,154 unit telah diserahkan kepada pelanggan. Walau bagaimanapun, jualan yang begitu tinggi dicatatkan pada bulan Januari iaitu 10,285 unit masih mampu untuk mencatatkan kenaikan jualan Saga sebanyak 38% untuk suku pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, di mana secara kumulatif sebanyak 21,770 unit Saga MC3 telah dihantar kepada pelanggan untuk tiga bulan pertama tahun ini, atau secara purata 7,571 unit setiap bulan.
Berdasarkan rekod serahan untuk bulan Februari dan Mac 2026, mungkin memang kapasiti pengeluaran kilang Proton untuk menghasilkan Saga MC3 hanya sekitar 5,000 unit – 6,000 unit sebulan? Ini kerana kami difahamkan bahawa jumlah serahan kepada pelanggan yang melebihi 10,000 unit pada Januari lalu adalah kerana Proton melambatkan penghantaran pada penghujung 2025 dan membawanya ke awal tahun 2026.
Kami turut ada mendengar rungutan pelanggan yang masih belum menerima kereta masing-masing walaupun sudah membuat tempahan pada akhir tahun lalu.
Namun walaupun jumlah jualan Saga MC3 lebih rendah dari apa yang dijangkakan, Proton masih mampu mencatatkan jualan bulanan keseluruhan 15,706 unit kenderaan sepanjang Mac 2026, atau naik 15.77% berbanding bulan sebelumnya. Jumlah jualan berkenaan dipacu oleh model-model yang baru diberikan kemaskini seperti S70 dan X50, dan juga eMas 7 PHEV yang baru dilancarkan pada Februari lalu.
Secara kumulatif, Proton telah mencatatkan jualan suku pertama tahun ini sebanyak 49,140 unit, yang juga merupakan rekod jualan suku pertama terbaik pernah dicatatkan oleh pembuat automotif nasional itu sejak 2004.
GALERI: Proton Saga 2026 Premium CVT
GALERI: Proton Saga 2026 Executive 4AT
GALERI: Proton Saga 2026 Standard 4AT
The post Proton Saga MC3 terjual 5,438 unit pada Mac 2026 – lebih rendah dari MC2 tahun lalu, tapi Q1 naik 38% appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



























































































































































































































































































