Proton hari ini mendedahkan beberapa imej dan juga perincian rasmi berkenaan sedan Saga yang dipertingkat, sebelum model tersebut dilancarkan tidak lama lagi

Proton mengesahkan bahawa Saga MC3 2026 ini menerima enjin baharu i-GT 1.5 liter. Tidak disebut berkenaan spesifikasi enjin tersebut, namun nama ‘i-GT’ membayangkan bahawa ia adalah enjin asas yang sama seperti yang diterima pada X50 facelift 2025 yang baru dilancarkan Julai lalu, iaitu enjin dalam keluarga BHE15 1.5 liter empat-silinder DOHC dan menggunakan sistem timing chain.

Kami jangkakan enjin yang diterima oleh Saga ini adalah dari versi lebih mampu milik tanpa pengecas turbo dan hanya diberikan sistem suntikan bahan api pada port kemasukan (PFI). Proton juga mengesahkan enjin baharu ini ditawarkan bersama kotak gear CVT automatik yang memberikan penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 menurut kitaran ujian MDC.

Proton Saga MC3 2026 sah ada Android Auto & Apple CarPlay tanpa wayar, HPF, 6-beg udara, enjin 1.5L CVT

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Proton menyatakan bahawa Saga 2026 ini diasaskan dari platform Advanced Modular Architecture (AMA). Sebelum ini Proton ada mendedahkan bahawa platform AMA ini masih lagi sama dengan platform Saga sebelumnya, tetapi diberikan beberapa penambahbaikkan.

Penambahbaikkan tersebut ada disebut menerusi pendedahan hari ini antaranya kerangka berkenaan diperkuat untuk meningkatkan keselamatan menerusi pemadanan komponen Hot Press Forming (HPF), disesuaikan untuk menerima enam-beg udara serta menerima seni bina elekronik bagi dipadankan dengan sistem-sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).

Proton mengesahkan bahawa Saga 2026 ini sembilan fungsi ADAS termasuk Brek Kecemasan Berautonomi (AEB), Amaran Perlanggaran Belakang (RCW), Amaran Pembukaan Pintu (DOW), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Bantuan Menukar Lorong (LCA), Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA), Kawalan Lampu Suluhan Tinggi Pintar (IHBC) dan Amaran Kenderaan Hadapan Bergerak (FDA).

Proton Saga MC3 2026 sah ada Android Auto & Apple CarPlay tanpa wayar, HPF, 6-beg udara, enjin 1.5L CVT

Saga 2026 ini juga disahkan sudah menerima sistem stereng bantuan kuasa elektrik (EPS) bagi menggantikan sistem hidraulik sebelum ini.

Pada sebelah luar, perubahan ketara yang dibuat pada Saga 2026 ini tentulah pada bahagian muka yang diberikan gril hadapan bermotifkan Sulaman Songket yang lebar sehingga ke bawah lampu hadapan, disahkan menggunakan unit LED projektor. Menurut Proton, lampu hadapan tersebut juga adalah lampu automatik dan turut memberikan fungsi Follow-me-home.

Juga boleh dilihat jalur LED untuk lampu nyalaan siang yang terbina dalam lampu utama tersebut seakan bersambung dengan jalur ‘busur panah’ pada gril.

Proton Saga MC3 2026 sah ada Android Auto & Apple CarPlay tanpa wayar, HPF, 6-beg udara, enjin 1.5L CVT

Pada bahagian sisi, bentuk keseluruhan Saga ini masih lagi nampak sama seperti model MC2 sedia ada termasuk pintu, tingkap, garis-garis badan dan sebagainya. Namun ia kini dipadankan dengan set rim aloi 15-inci baharu dalam kemasan dua tona. Dan di belakang, Saga 2026 ini di berikan lampu LED baharu dengan jalur dan bar merentangi sepenuhnya penutup but belakang seakan ‘abangnya’ iaitu S70, serta diberikan bampar baharu.

Manakala pada bahagian dalaman, Saga 2026 tampil dengan papan pemuka yang dirombak sepenuhnya. Ia kini menampilkan liang penghembus udara berbentuk bujur, diberikan elemen corak seperti ombak pada bahagian penumpang, dan yang paling menonjol adalah rekaan skrin infotainmen yang bersambung sekali dengan paparan instrumen digital.

Walaupun bersambung, skrin berkenaan menampilkan ukuran paparan berbeza antara satu sama lain. Saiz sebenarnya belum diumumkan, tetapi Proton menyatakan gandingan kedua-dua skrin tersebut memberikan paparan sehingga 16-inci. Proton turut mengesahkan bahawa skrin sesentuh untuk infotainmen tersebut juga menerima sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar.

Proton Saga MC3 2026 sah ada Android Auto & Apple CarPlay tanpa wayar, HPF, 6-beg udara, enjin 1.5L CVT

Perincian lain yang turut boleh dilihat termasuk roda stereng baharu lebih sporty rata di bawah yang sama seperti unit dari S70, X50 dan sebagainya, tombol gear baharu dan juga corak ‘ombak’ yang turut diberikan pada panel pintu.

Menurut Proton, Saga 2026 ini merupakan model yang dibangunkan sepenuhnya oleh bakat tempatan di pusat Penyelidikan dan Permbangunanannya selepas ia menjalinkan kerjasama dengan Geely pada 2017. Tarikh pelancarannya masih belum diumumkan, tetapi menerusi bayangan yang diberikan oleh Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar ketika pelancaran eMas 5 minggu lalu, Saga MC3 ini berkemungkinan akan dilancarkan pada bulan ini.

Minggu lalu Saga MC3 ini turut diumum sudahpun menerima penarafan empat-bintang dalam ujian pelanggaran keselamatan Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP), diuji menerusi protokol ujian 2021-2025. Ia tidak menerima penarafan lima-bintang penuh walaupun telah dilengkapi dengan enam beg-udara dan ADAS mungkin kerana perincian tersebut hanya diberikan pada varian tertinggi, manakala ASEAN NCAP lazimnya akan menguji model dalam varian paling rendah.

The post Proton Saga MC3 2026 sah ada Android Auto & Apple CarPlay tanpa wayar, HPF, 6-beg udara, enjin 1.5L CVT appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts