Selepas dipamerkan di Kuala Lumpur ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 tempoh hari, Proton Saga MC3 2026 yang dibalut dengan pelekat penyamaran bermotif kain songket kini dipamerkan di Pusat Kecermelangan Proton (CoE) di Subang Jaya. Kami mengambil kesempatan ini untuk ke sana dan membelek Saga tersebut bagi mengetahui lebih terperinci tentang sedan yang telah dikemaskini berkenaan.
Saga 2026 ini diberikan muka yang berubah sepenuhnya berbanding model MC2 sedia ada, di mana penutup bonet, lampu, gril dan juga bampar menerima rekaan baharu. Lampu depan Saga MC3 ini telah diberikan pencahayaan projektor LED, bersama lampu nyalaan siang LED bina-dalam.
Gril Saga ini juga menerima motif ‘sulaman songket’ yang sama dengan X50 facelift yang baru dilancarkan Julai lalu, dan ia kini lebih besar merangkumi sehingga bahagian bawah lampu hadapan. Rekaan busur panah juga ditampilkan pada gril tersebut dalam kemasan krom bersama logo Proton terletak di tengah, dan ia kelihatan seperti bersambung dengan jalur LED untuk DRL dalam lampu utama.
Berbanding pada model sedia ada yang diberikan gril bawah pada bampar berbentuk trapezoid, Saga 2026 ini menerima gril bawah berbentuk segi empat. Tiada sebarang lampu diberikan pada bampar, di mana kemasan seperti liang udara pada kedua-dua sisi bampar benar-benar mengalirkan udara ke ruang roda hadapan – tidak dapat dipastikan sama ada untuk tujuan aerodinamik atau untuk menyejukkan brek hadapan.
Manakala di belakang, jelas Saga diberikan lampu belakang yang merentasi lebar keseluruhan sedan ini, dengan lensa jernih dan grafik LED diinspirasikan dari ‘abangnya’ iaitu Proton S70. Penutup but Saga ini juga menerima perubahan dimana di direka lebih ‘lentik’ di belakang seakan spoiler ekor itik. Bampar belakang Saga ini turut dipadankan bersama dengan panel bawah seakan diffuser udara.
Namun jika dilihat pada bahagian sisi, bentuk garis bumbung, pintu hadapan dan belakang dan juga garis-garis badan masih lagi sama seperti model sedia ada. Sebelum ini Proton ada menyatakan bahawa Saga 2026 diasaskan dari platform AMA 01, di mana ia adalah berdasarkan platform yang sama digunakan oleh Saga MC2 sekarang tetapi diberikan pelbagai penambahbaikkan – mungkin ini sebab mengapa rupa asas Saga ini masih lagi sama.
Walau bagaimanapun masih ada beberapa perincian berbeza boleh dilihat pada sisi sedan berkenaan, antaranya set rim aloi 15-inci baharu dengan kemasan dua tona dan dibalut tayar Atlas AS380 dengan saiz 185/55R15, rekaan cermin sisi baharu.
Unit yang dipamerkan dikunci, jadi kami tidak dapat untuk membelek dengan lebih terperinci bahagian kabin Saga 2026 ini. Apa yang kami boleh lihat Saga ini menerima papan pemuka baharu yang direka semula sepenuhnya, menampilkan skrin infotainmen dan skrin paparan instrumen digital. Dalam set gambar sebelum ini mendedahkan bahawa walaupun skrin tersebut bercantum, ia tidak menampilkan saiz yang sama di mana paparan untuk instrumen adalah lebih kecil dari berbanding infotainmen.
Selain itu juga dapat dilihat Saga 2026 ini diberikan liang penghembus udara yang kini bujur dan leper berbanding empat segi sebelum ini, suis kawalan cermin sisi, butang penghidup enjin, roda stereng lebih sporty rata dibawah yang diambil terus dari model-model Proton-Geely seperti X50, S70, dan X90, serta perehat kepala untuk tempat duduk belakang kini sudah boleh dilaras.
Malah kami turut perasan bahawa terdapat label ‘SRS Airbag’ pada tempat duduk hadapan dan juga pada panel pintu menandakan Saga 2026 ini juga menawarkan lebih dari dua beg udara, di mana model-model sebelum ini Saga secara maksimum Saga hanya diberikan beg udara pada stereng dan papan pemuka.
Pada penutup but belakang, Saga ini turut menerima lencana i-GT – ini mengesahkan bahawa ia menerima enjin i-GT 1.5 liter empat-silinder sebaris yang sama seperti pada X50 baharu. Walau bagaimanapun, kami jangkakan enjin yang disumbat pada Saga ini adalah varian dengan kod BHE15PFI, bukan BHE15TD seperti pada X50.
Asas kedua-dua enjin tersebut masih lagi sama, tetapi enjin Saga ini adalah dari versi dengan harga lebih mampu milik yang diberikan sistem suntikan bahan api pada port (PFI) berbanding suntikan terus (GDI) pada X50, dan ia juga tidak dibekalkan dengan pengecas turbo. Lebih perincian berkenaan barisan enjin BHE15 ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.
Berdasarkan maklumat yang tertiris sebelum ini, Proton akan menawarkan pilihan transmisi automatik empat-kelajuan 4AT atau CVT automatik bergantung pada varian. Tiada pilihan kotak manual ditawarkan pada model terbaharu Saga ini.
Model Saga yang dipertingkatkan ini juga sebelum ini telah disahkan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi termasuk pemantau titik buta dan juga brek kecemasan automatik. Kami tak nampak sebarang suis kawalan untuk sistem cruise control adapatif pada roda stereng, jadi boleh diagak sistem ADAS yang ditawarkan hanya memberikan fungsi asas tanpa kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2.
Sehingga kini Proton masih belum memberikan sebarang petunjuk bila Saga ini akan dilancarkan. Namun selepas didedahkan tanpa sebarang penyamaran oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim di KL pagi tadi, boleh diagak pelancarannya akan dibuat tidak lama lagi.
The post Proton Saga MC3 2026 dipamerkan di CoE – lebih dari 2 beg udara, ADAS, lampu projektor LED, meter digital appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

































































